Produk pelangsingan guna racun melebihi dos



KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan menasihati pengguna supaya tidak membeli dan menggunakan dua produk pelangsingan tidak berdaftar yang didapati mengandungi bahan racun berjadual sibutramine.


Dua produk pelangsingan itu terdiri daripada 'Collagen Slim' dan 'Beautiful Slim Body' yang didapati dipromosi serta dipasarkan melalui internet bagi tujuan kecantikan dan menurunkan berat badan.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Datuk Eisah Abdul Rahman berkata hasil ujian oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) mendapati produk 'Collagen Slim' mengandungi bahan racun berjadual sibutramine melebihi dos dibenarkan.

"Sibutramine adalah ubat terkawal digunakan bagi merawat obesiti. Namun segala ubat yang mengandungi sibutramine telah ditarik balik pendaftarannya di negara ini pada 23 Disember 2012 atas sebab peningkatan risiko kesan advers kardiovaskular," katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara kesan sampingan lain sibutramine katanya, termasuklah peningkatan kadar denyutan jantung, darah tinggi, kering mulut dan tekak, muntah, cirit-birit, sakit kepala serta kesukaran tidur.

Eisah berkata label produk tersebut turut mengelirukan pengguna dengan menyatakan produk mengandungi ramuan semulajadi namun hakikatnya penggunaan produk tersebut secara berterusan boleh memudaratkan kesihatan.

Katanya individu yang sabit kesalahan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

Bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Katanya, syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Beliau juga menyeru orang awam yang mempunyai maklumat mengenai produk tidak berdaftar ini untuk menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-78413200 atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi atau e-mel kepada pharmacy1@moh.gov.my bagi menyalurkan maklumat agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

"Orang ramai juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk dengan menghubungi BPFK di talian 03-78835400 atau melayari laman sesawang http://www.bpfk.gov.my.," katanya. - Bernama



No comments:

Post a Comment