Gelang kawal kanser

Gelang pengawal kanser ini akan berubah warna daripada kuning kepada merah jambu apabila kekuatan sinar UV meningkat. -

LONDON 10 Ogos - Saintis memperkenalkan sejenis gelang yang diperbuat daripada kertas bagi membantu mengurangkan risiko penyakit kanser akibat pendedahan melampau kepada matahari bagi mereka yang sering terdedah kepada mentari.

Bekas penyelidik dari Universiti Strathclyde di Glasgow, Profesor Andrew Mills dan Dr. Michael McFarlane mencipta gelang tersebut untuk memaklumkan kepada orang ramai sejauh mana pendedahan kepada sinar ultra-violet (UV) sebelum ia memberi risiko kepada kesihatan.

Gelang jenis pakai buang itu bertindak bertukar warna daripada kuning kepada merah jambu apabila kekuatan sinar UV meningkat.

Ia akan dihasilkan mengikut jenis dan warna kulit, berdasarkan toleransi mereka kepada pendedahan matahari.

Sebagai contoh, untuk mereka yang berkulit cerah gelang itu akan bertukar warna lebih cepat berbanding mereka yang berkulit gelap.

Katanya, sebuah syarikat dari Sweden, Intellego Technologies akan mengeluarkan gelang tersebut secara komersial.

Mills berkata, pihaknya cuba menghasilkan gelang tersebut pada harga yang murah kerana ia hanya akan dipakai buang oleh pengguna. - AGENSI



Air gas punca berat badan naik

LONDON 1 Ogos - Saintis biologi, Doktor Hans-Peter Kubis yang membuat kajian mengenai kesan minuman ringan kepada manusia mendapati, minuman berkarbonat boleh menghasilkan keputusan yang sangat mengejutkan.

Malah beliau percaya keputusan yang diperolehnya itu akan menyebabkan mereka yang gemar minuman berkarbonat tidak akan menyentuhnya lagi.

Menurut kajian Kubis, walaupun hanya meminum minuman ringan dengan jumlah yang sedikit iaitu satu tin sehari atau dua tin seminggu, ia tetap akan mengubah tahap metabolisme yang akhirnya akan menyebabkan berat badan bertambah.

Bagi kanak-kanak pula, minuman ringan akan menyebabkan ketagihan dan mengubah nafsu makan mereka kepada makanan ringan.

Kajian itu turut mendapati, meminum minuman berkabonat setiap hari juga boleh menyebabkan peningkatan berat badan dan masalah penyakit dalam jangka panjang.

Penyelidikan oleh Universiti Bangor itu yang diterbitkan di Jurnal Pemakanan Eropah menyatakan, minuman ringan sebenarnya mengubah kadar metabolisme, di mana otot menggunakan gula untuk tenaga berbanding lemak.

Kajian itu mendapati, cecair gula menyebabkan gen di bahagian otot berubah fungsi dan ia mungkin berkekalan.

Menurut penyelidikan itu, minuman berkarbonat bukan sahaja menyebabkan berat badan meningkat, tetapi juga menyebabkan tahap metabolisme menjadi tidak efisien dan kurang berupaya menahan peningkatan gula dalam darah.

"Keadaan ini seterusnya akan meningkatkan risiko mengidap diabetis tahap dua," kata Kubis yang merupakan saintis dan pakar pemakanan yang mengetuai penyelidikan itu.

Sebenarnya, penyelidikan itu adalah untuk kajian terbaru mengenai amaran bahaya minuman berkarbonat dan kaitannya dengan penyakit serius. - AGENSI