Air kunci awet muda


Perkara yang mahu dibincangkan ialah mengenai air sebagai sumber kehidupan manusia dan seluruh hidupan di muka bumi Allah ini. Hampir semua tamadun manusia berdekatan sumber air. Tanpa air tiadalah kehidupan di dunia ini.


Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al An’am ayat 99: “Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaiton serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman.” Manusia berasal daripada air, sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah Al-Insaan , ayat 2: “Sesungguhnya Kami menciptakan manusia daripada setitis ‘air’ mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.” Semakin manusia tua, maka kandungan air dalam tubuh semakin berkurangan. Ketika bayi, kandungan air sehingga 75% dan semakin dewasa kandungan air menurun kepada 57% daripada berat tubuh manusia. Bagi seorang yang mengalami masalah kegemukan, kandungan air berkurang sehingga 45%. Air adalah ‘kunci’ kepada kesihatan yang baik dan untuk awet muda.

Persoalan yang selalu ditanya, apakah air yang baik untuk kesihatan? Dalam satu hadis Nabi Muhammad SAW sabdanya: “Sebaik-baik air di muka bumi ini adalah air zam-zam, terdapat di dalamnya zat makanan dan penyembuh bagi segala penyakit.” Berdasarkan hadis di atas, jelaslah air terbaik untuk kesihatan adalah air zam-zam. Dari segi sains air zam-zam mengandungi kandungan mineral dengan nisbah tepat dan sangat baik untuk kesihatan. Dengan mengambil kira faktor ini, maka air yang baik untuk kesihatan adalah air mineral asli.


Untuk sumber mineral terbaik kepada tubuh manusia, maka mineral daripada sumber air adalah sumber terbaik. Garam mineral seperti kalsium, magnesium, kalium, natrium, zink dan sebagainya amat penting untuk fungsi metabolisma tubuh manusia yang normal.


Manusia zaman sekarang amat kurang minum air yang sihat dengan pengambilan air berperisa dan bergula setiap kali minum. Air berkarbonat mengandungi kandungan gula sangat tinggi menjadi minuman harian kebanyakan kita hari ini.

Air ini tidak sihat untuk kesihatan kerana berasid dan boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, kegemukan dan sebagainya.


Minuman ‘bertenaga’ yang banyak terdapat di pasaran juga adalah tidak sihat jika diambil selalu kerana kandungan glukosa dan ‘kafein’ tinggi.

Lebih malang lagi jika minuman ini diambil tanpa bersenam atau melakukan apa-apa aktiviti sukan. Ia akan menyebabkan masalah kesihatan kemudian hari.


Minum terlalu banyak jus buah-buahan juga tidak sihat kerana kandungan gula yang tinggi tanpa kebaikan serat yang terdapat dalam buah-buahan. Minumlah air paip yang ditapis kerana air paip mungkin tercemar dengan pelbagai ampaian, logam berat dan klorin yang berlebihan.


Ada ahli perubatan berpendapat bahawa lebihan klorin yang bercampur dengan bahan organik di dalam air paip yang dipanaskan akan menyebabkan penghasilan bahan karsinogen. Oleh itu amat baik diminum air paip yang ditapis dengan pelbagai alat penapisan air di pasaran.


Minum air penapis dengan kaedah osmosis berbalik juga adalah tidak digalakkan untuk jangkamasa panjang kerana tidak mengandungi sebarang garam mineral di dalamnya. Air minuman harian seperti teh dan kopi adalah baik jika diambil secara sederhana dan tidak berlebihan. Masalah utama adalah kandungan gula yang berlebihan dalam minuman ini apabila dijadikan teh tarik atau kopi susu yang akan menyebabkan masalah kegemukan dan kencing manis.


Minumlah air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari dan pilihlah air bermineral untuk kesihatan yang baik dan untuk awet muda, insya-Allah.


Penulis pengamal Perubatan Am pengkhususan dalam Estetik, Anti Penuaan dan Perubatan Regeneratif


Minuman berkarbonat punca gemuk

GAMBAR fail menunjukkan minuman berkarbonat yang boleh didapati di pasaran.

WASHINGTON - Tiga kajian terbaharu yang disiarkan di Amerika Syarikat (AS) pada minggu lalu mengesahkan terdapat kaitan antara minuman manis berkarbonat dan air buah-buahan yang mengandungi kandungan gula tinggi dengan penularan kegemukan atau obesiti dalam kalangan penduduk AS.

Menurut penulis satu kajian yang disiarkan jurnal New England Journal of Medicine di online, pengambilan minuman tersebut meningkat lebih dua kali ganda sejak tahun 1970-an.

Kajian itu menyatakan pada tempoh masa yang sama, kadar obesiti dalam kalangan penduduk dewasa AS meningkat 30 peratus.

Berdasarkan kajian pertama, minuman bergula didapati menjejaskan gen yang mengatur berat dan meningkatkan kecenderungan untuk berat badan seseorang bertambah.

Para penyelidik menggunakan 32 variasi gen yang diketahui akan memberi kesan terhadap berat badan bagi mewujudkan profil peserta yang menyertai kajian berkenaan.

Tabiat pemakanan para peserta itu juga dikenal pasti oleh penyelidik selain pengambilan minuman bergula dan amalan senaman.

Dua lagi kajian menunjukkan kumpulan kanak-kanak dan remaja yang diberikan minuman tanpa kalori seperti air mineral atau minuman tanpa banyak kandungan gula yang mengandungi gula tiruan didapati mengalami pertambahan berat badan yang sedikit.



sumber


Gelang kawal kanser

Gelang pengawal kanser ini akan berubah warna daripada kuning kepada merah jambu apabila kekuatan sinar UV meningkat. -

LONDON 10 Ogos - Saintis memperkenalkan sejenis gelang yang diperbuat daripada kertas bagi membantu mengurangkan risiko penyakit kanser akibat pendedahan melampau kepada matahari bagi mereka yang sering terdedah kepada mentari.

Bekas penyelidik dari Universiti Strathclyde di Glasgow, Profesor Andrew Mills dan Dr. Michael McFarlane mencipta gelang tersebut untuk memaklumkan kepada orang ramai sejauh mana pendedahan kepada sinar ultra-violet (UV) sebelum ia memberi risiko kepada kesihatan.

Gelang jenis pakai buang itu bertindak bertukar warna daripada kuning kepada merah jambu apabila kekuatan sinar UV meningkat.

Ia akan dihasilkan mengikut jenis dan warna kulit, berdasarkan toleransi mereka kepada pendedahan matahari.

Sebagai contoh, untuk mereka yang berkulit cerah gelang itu akan bertukar warna lebih cepat berbanding mereka yang berkulit gelap.

Katanya, sebuah syarikat dari Sweden, Intellego Technologies akan mengeluarkan gelang tersebut secara komersial.

Mills berkata, pihaknya cuba menghasilkan gelang tersebut pada harga yang murah kerana ia hanya akan dipakai buang oleh pengguna. - AGENSI



Air gas punca berat badan naik

LONDON 1 Ogos - Saintis biologi, Doktor Hans-Peter Kubis yang membuat kajian mengenai kesan minuman ringan kepada manusia mendapati, minuman berkarbonat boleh menghasilkan keputusan yang sangat mengejutkan.

Malah beliau percaya keputusan yang diperolehnya itu akan menyebabkan mereka yang gemar minuman berkarbonat tidak akan menyentuhnya lagi.

Menurut kajian Kubis, walaupun hanya meminum minuman ringan dengan jumlah yang sedikit iaitu satu tin sehari atau dua tin seminggu, ia tetap akan mengubah tahap metabolisme yang akhirnya akan menyebabkan berat badan bertambah.

Bagi kanak-kanak pula, minuman ringan akan menyebabkan ketagihan dan mengubah nafsu makan mereka kepada makanan ringan.

Kajian itu turut mendapati, meminum minuman berkabonat setiap hari juga boleh menyebabkan peningkatan berat badan dan masalah penyakit dalam jangka panjang.

Penyelidikan oleh Universiti Bangor itu yang diterbitkan di Jurnal Pemakanan Eropah menyatakan, minuman ringan sebenarnya mengubah kadar metabolisme, di mana otot menggunakan gula untuk tenaga berbanding lemak.

Kajian itu mendapati, cecair gula menyebabkan gen di bahagian otot berubah fungsi dan ia mungkin berkekalan.

Menurut penyelidikan itu, minuman berkarbonat bukan sahaja menyebabkan berat badan meningkat, tetapi juga menyebabkan tahap metabolisme menjadi tidak efisien dan kurang berupaya menahan peningkatan gula dalam darah.

"Keadaan ini seterusnya akan meningkatkan risiko mengidap diabetis tahap dua," kata Kubis yang merupakan saintis dan pakar pemakanan yang mengetuai penyelidikan itu.

Sebenarnya, penyelidikan itu adalah untuk kajian terbaru mengenai amaran bahaya minuman berkarbonat dan kaitannya dengan penyakit serius. - AGENSI






Kuruskan badan ketika Ramadan

Kuruskan badan ketika Ramadan
Digalakkan makan kurma ketika berbuka dan bersahur bersama air mineral.


Kuruskan badan ketika Ramadan
Pemakan sayur dan buah-buahan sesuai mengambil bijirin yang agak tinggi kadarnya.

Peningkatan bilangan penduduk negara ini yang mengalami obesiti adalah fenomena yang menggerunkan. Berpuasa selama sebulan sepanjang Ramadan ini dengan teknik tertentu dari segi pemakanan ketika makan malam dan bersahur dipercayai dapat membantu seseorang yang mengalami berat badan berlebihan mengurangkan berat badan mereka.


Tiada definisi sejagat untuk berat badan berlebihan dan obesiti. Definisi yang penulis biasa gunakan ialah berlebihan berat badan merujuk kepada berat badan dalam lingkungan 20 peratus melebihi berat badan ideal. Obesiti pula ialah berat badan melebihi kadar berat badan berlebihan.



Berikut ialah panduan yang diharapkan dapat membantu seseorang mengenal pasti jenis dan kadar makanan yang sesuai dalam usaha bukan sahaja mendapatkan berat badan ideal atau menurunkan berat badan tetapi agar sentiasa sihat. Sebahagian pakar kesihatan alternatif membahagikan metabolisme manusia kepada tiga jenis iaitu metabolisme pemakan daging, pemakan sayuran/bijirin dan pemakan daripada kedua-dua jenis.



Bagi pemakan daging mereka biasanya tiada masalah makan daging yang sukar hadam seperti daging lembu. Mereka juga mudah mengasimilasikan lemak pada kadar yang tinggi. Sayur-sayuran dan buah-buahan diambil pada kuantiti rendah. Seseorang yang mudah sakit perut atau kurang selesa apabila makan makanan bercuka dan tinggi vitamin C adalah dalam kategori ini. Mereka juga kurang semangat, letih dan mudah naik angin.



Daging dan lemak tepu



Jika anda tergolong dalam kategori pemakan daging, makanan seperti daging lembu, lemak tepu seperti santan, telur dengan kuningnya, minyak sapi tulen, mentega susu tulen, minyak kelapa dara dikatakan sesuai dengan metabolisme anda. Ikan dan ayam boleh diambil tetapi ia didapati mudah menyebabkan penyakit seperti ketidakhadaman, sakit perut, sakit kepala dan sakit sendi.



Jika makanan ini termasuk sayuran pada kuantiti tinggi diambil secara berpanjangan mereka dikatakan mudah mendapat penyakit berjangkit seperti batuk, demam biasa dan demam selesema. Gejala lain ialah mereka dipercayai boleh mengalami obesiti.



Pemakan sayuran/bijirin ialah jenis metabolisme yang bertentangan dengan metabolisme pemakan daging. Daging yang sesuai untuk mereka ialah daging yang mudah hadam seperti ayam dan ikan. Mereka boleh makan makanan berlemak termasuk telur tetapi secara ala kadar. Mengambil bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran pada kadar yang agak tinggi dikatakan sesuai dengan jenis metabolisme ini.



Jika mereka mengamalkan makan makanan untuk pemakan daging secara berterusan termasuk sepanjang Ramadan mereka dikatakan mudah mengalami masalah penghadaman, sakit perut, sembelit, sengal sendi, kulit kering dan pelbagai masalah lain termasuk akan mengalami pertambahan berat badan. Cuka dan makanan tinggi vitamin C membuatkan mereka berasa lebih tenang, bersemangat, bertenaga dan tidur lebih lena.



Jenis metabolisme



Mereka yang mempunyai jenis metabolisme di tengah-tengah pula boleh makan jenis makanan yang sesuai untuk kedua-dua kategori di atas. Mereka tidak mengalami sebarang perubahan apabila mengambil makanan bercuka dan tinggi vitamin C.



Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ujian mengenalpasti jenis metabolisma dan makanan-makanan yang sesuai dengan setiap  jenis metabolisma sila layari blog penulis yang memaparkan perkara ini di Hyperlink http://jenismetabolisme.blogspot.com/2008/10/uji-jenis-metabolisme.html. Kaedah mengawal berat badan dan menguruskan badan dibincangkan secara terperinci dalam buku penulis berjudul Kawal Berat Badan terbitan Alaf 21.



Setelah memahami jenis metabolisme anda diharapkan anda dapat mengaplikasikan jenis dan kuantiti makanan yang sesuai dengan metabolisme anda pada Ramadan ini. Ia juga boleh diamalkan pada bulan seterusnya. Sesetengah orang dikatakan mengalami jenis metabolisme yang serupa hampir sepanjang hayat. Namun perlu diingatkan bahawa metabolisme seseorang boleh berubah-ubah dari masa ke masa.



Secara umum berbuka dengan rutab (kurma basah) adalah keutamaan. Tiada rutab makanlah kurma. Tiada kurma minumlah air kosong. Turutan keutamaan berbuka ini berdasarkan hadis iaitu daripada Anas RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji rutab (tamar basah) sebelum solat, jika tiada rutab baginda berbuka dengan tamar, dan sekiranya tamar tiada baginda akan berbuka dengan air. (Riwayat Abu Dawud dan Tirmizi. Kata Tirmizi ia hadis hasan).



Seperti dibincangkan minggu lepas, setelah berbuka seseorang boleh makan malam dengan makanan yang sesuai dengan jenis metabolisme masing-masing. Seperti dinyatakan hanya makanan tertentu yang dikatakan sesuai untuk setiap jenis metabolisme. Jenis makanan yang disarankan sesuai diambil ketika makan malam dan bersahur. Waktu sahur paling baik ialah hampir dengan waktu subuh seperti dinyatakan dalam beberapa hadis sahih.  
Seseorang daripada kategori pemakan daging perlu mengurangkan bijirin seperti nasi dan produk gandum di mana ia perlu diambil pada kuantiti ala kadar. Makanan berlemak dan berprotein sebagai lauk-pauk yang mengiringi nasi membantu mereka mudah kenyang dan kenyang lebih lama.
Pemakan daging boleh mengambil tiga sudu besar minyak kelapa dara sebaik-baik sahaja makan sahur. Ia membantu membakar lemak dan meningkatkan tenaga tubuh.



Makanan berasid



Pemakan sayur-sayuran pula patut memberi perhatian kepada nasi, produk gandum, sayur-sayuran dan buah-buahan. Makanlah ayam dan ikan pada kuantiti ala kadar. Begitu juga makanan berlemak termasuk makanan bersantan. Oleh sebab makanan berasid sesuai dengan metabolisme maka ambillah makanan berasid ketika makan malam dan bersahur.



Jika anda suka makan makanan bercuka pastikan jenis cuka yang digunakan tidak menimbulkan tindak balas tubuh. Cuka kurma didapati amat sesuai diambil kesemua jenis metabolisme kerana ia didapati kurang menimbulkan tindakbalas.



Mengelakkan minuman bergula sama ada yang ditambah gula biasa atau fruktos (sirap jagung tinggi fruktos) adalah langkah yang bijak. Air buah-buahan, teh atau minuman berkoko (kurang pekat) perlu diambil tanpa gula. Sebahagian orang yang mengalami berlebihan berat badan dikatakan sebenarnya mengalami gemuk air. Makan secara berlebihan, makanan tinggi gula dan tindak balas makanan (food reaction, termasuk di dalamnya alahan makanan) adalah antara punca seseorang mengalami gemuk air.



Sepanjang malam jika anda lapar minumlah air kosong atau air mineral. Air yang sama juga sesuai diambil ketika bersahur. Selepas berbuka dengan kurma (jika ada kurma) minumlah segelas air kosong atau air mineral. Air yang diminum terutama lebih kurang setengah jam sebelum makan utama (sarapan, makan tengahari, malam) dikatakan menyediakan usus untuk menerima makanan agar dapat dicerna dengan sempurna.


5 minit kurang stres



LIMA minit bukanlah satu jangka masa yang lama, tetapi ia akan menjadikan kehidupan anda lebih baik dan positif sekiranya anda melakukan perkara yang boleh meningkatkan kegembiraan dan mengurangkan tekanan. Caranya mudah saja ikuti panduan di bawah untuk mendapatkan hasilnya:

Ubah suai tempat tidur anda 

Bermula setiap pagi dengan mewujudkan persekitaran tenang di dalam bilik tidur mampu memberikan emosi gembira kepada anda. Penulis buku Kebahagiaan Gretchen Rubin, menulis ramai orang akan mendapat ketenangan apabila melakukannya setiap pagi. Caranya mungkin dengan menghias bilik dengan kuntuman bunga, membuat semburan wangian atau menggantungkan gambar keluarga. 

Bawa makanan berkhasiat 

Sebelum keluar pada waktu pagi, apa kata anda pergi ke dapur dan ambil buah-buahan seperti pisang, epal dan anggur atau makanan ringan berkhasiat seperti kacang, kismis atau kurma untuk dimakan atau dibawa ke pejabat. Dengan cara ini, apabila perut lapar pada waktu petang anda hanya perlu mencapai makanan dari dalam beg tangan dan bukannya mencari coklat atau biskut di kedai. 
Sekurang-kurangnya ini dapat meningkatkan tahap kesihatan anda. 


Kemas meja 

Anda tidak mungkin dapat merevolusikan almari dalam masa lima minit, tetapi anda boleh menguruskan meja supaya kemas, bersih dan teratur. 

Bersihkan kertas bersepah dan tidak digunakan, cawan berselerak atau habuk pada skrin komputer. Meja yang tidak kemas akan membuatkan anda hilang tumpuan, sekali gus mengurangkan produktiviti. Persekitaran yang baik dan selesa meningkatkan motivasi anda. 


Mendengar muzik 

Kajian mendapati mendengar muzik bukan saja membantu menenangkan jiwa, tetapi merendahkan tekanan darah dan meningkatkan kegembiraan. Muzik sesuai berkuasa mengubah minda dan sikap. Jadi memuat turun lagu menerusi alat pemain MP3 dan mendengarnya ketika bekerja atau di rumah mampu membuatkan anda tersenyum sepanjang hari. 


Menghidu lemon 

Penyelidik Jepun mendapati bahan linalool yang terdapat dalam lemon, mempunyai ciri-ciri antiradang dan boleh mengurangkan tekanan manakala wangian selasih, jintan manis dan lavender baik untuk kesihatan. 


Buat aktiviti regangan 

Mengangkat tangan di kepala serta meluruskan kaki adalah senaman ringkas dan berkesan mengurangkan tekanan. Ini kerana regangan membantu meningkatkan peredaran darah dan mengurangkan tekanan pada otot. 


Luahkan apa yang terbuku di hati 

Ini boleh dilakukan dengan menulis perkara yang membuatkan anda tertekan. 
Misalnya tekanan dalam kesesakan lalu lintas, masalah dengan teman sekerja atau kerja yang terlalu banyak. Dengan cara ini dapat mengurangkan masalah anda. 


Mematikan peralatan elektronik 

Merenung skrin komputer dan elektronik sepanjang hari boleh menyebabkan anda kurang aktif dan tidak bertenaga. Jadi padamkan semua peralatan elektronik seperti telefon dan komputer riba. Ini adalah penting terutamanya membolehkan anda berehat dan bersantai sebelum tidur. 


Senarai keutamaan 

Kerja anda akan menjadi lebih mudah sekiranya anda menyenaraikan keutamaan. 

Ini membolehkan anda membuat susunan perkara yang perlu dilakukan dulu 
dan mengelak berlakunya penangguhan. Membuat senarai dan menyemak setiap tugas juga dapat meningkatkan produktiviti anda.



SLE serang wanita asia

SLE serang wanita asia

Sebagai seorang wanita sudah tentunya penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) amat membimbangkan walaupun kadar penyakit ini tidak berbahaya seperti barah, tetapi ia juga boleh membunuh.

Systemic Lupus Erythematosus (SLE) atau nama singkatannya Lupus merupakan salah satu gangguan sistem imun di mana sistem itu sendiri melawan bahagian-bahagian tubuh yang sepatutnya dilindunginya. Ia boleh melibatkan banyak bahagian tubuh seperti sendi, kulit, buah pinggang, jantung, paru-paru, saluran darah dan otak.

Protein darah yang dipanggil antibodi ini dengan sendirinya memberi tindak balas terhadap tisu badan seseorang kerana sistem dalam badan tidak dapat mengenali yang mana mendatangkan kebaikan yang mana tidak. Malah punca penyakit SLE masih tidak diketahui.

Lupus pada dasarnya adalah penyakit berhubung kecelaruan sistem auto imun yang berlaku apabila tisu badan diserang sistem imun atau pertahanannya sendiri. Sistem imun adalah satu sistem kompleks dalam tubuh, direka khusus untuk menyerang ejen-ejen jangkitan seperti bakteria dan mikrob asing.

Antibodi tidak normal

Presiden Persatuan SLE Malaysia (PSLEM), Prof Madya Dr Esha Das Gupta berkata, mereka yang menghidap Lupus menghasilkan antibodi tidak normal dalam darah yang tertarik untuk serang tisu dalam tubuh mereka sendiri berbanding ejen jangkitan asing lain.

“Masalah itu berlaku kerana antibodi dan sel yang mengiringi keradangan boleh menjejaskan tisu dalam tubuh, Lupus punya potensi untuk menjangkiti banyak bahagian tubuh. Masalah lupus menjejaskan sistem organ seperti kulit, sendi, dan semua organ dalaman lain.

“Sebab yang tepat bagi menjelaskan mengapa masalah auto imun tidak normal boleh menyebabkan Lupus masih tidak diketahui. Faktor seperti diwarisi secara genetik, virus, sinar ultra ungu dan ubat-ubatan tertentu adalah kebarangkalian menjadi puncanya,” katanya ketika merasmikan kempen Walk-a-Payung yang akan diadakan pada 20 Mei nanti di Dataran Hospital Tropicana, Kota Damansara.

Menurutnya, ada pertalian darah dengan pesakit Lupus tidak memberi kesan atau jangkitan kepada seseorang individu kerana ia langsung tiada kena mengena dengan sejarah keluarga.

"Lupus boleh dihidapi lelaki dan wanita, tetapi 90 peratus penghidap adalah wanita berusia dari dalam kandungan hingga 50 tahun, terutama mereka yang berasal dari Asia dan Afrika-Amerika,” katanya yang mengalu semua pihak ambil bahagian pada hari tersebut.

Dr Esha berkata, simptom penyakit ini berbeza-beza dan boleh menjejaskan beberapa bahagian tubuh seperti otot skeletal yang menjejaskan sendi dan menyebabkan sakit sendi ringan hinggalah kepada serius.

“Lupus juga boleh menyebabkan athritis pada tangan, kulit menjadi ruam, jangkitan kulit dan bintil lebam kemerah-merahan yang menyakitkan.

“Buah pinggang menghasilkan deposit protein dan boleh menyebabkan kegagalan renal yang memerlukan pesakit melakukan dialisis. Sistem saraf boleh menyebabkan disfungsi mental, sawan, psikosis dan sakit kepala yang teruk.

“Darah beku boleh terbentuk begitu juga pulmonari embolism. Jantung boleh menyebabkan sakit dada, endocraditis, dan myocarditis kerana berkemungkinan berkaitan kesan Lupus pada darah akibat pembekuan berlaku. Sesak nafas pleurisy boleh terjadi dalam paru-paru,” katanya.

Jenis-jenis SLE atau Lupus

Lupus terbahagi kepada dua iaitu, Discoid Lupus Erythematous (DLE) dan Systemic Lupus Erythematosus (SLE) DLE hanya melibatkan kulit dan jarang merebak ke organ lain. Bagi pesakit DLE, ruam bermula dengan beberapa tompok kemerahan, keras, kasar dan meninggalkan parut. Tompok ini terjadi di muka, belakang telinga dan di kulit kepala yang hanya menjejaskan bahagian kulit terdedah sahaja.

SLE adalah jenis yang lebih serius menjejaskan sistem tubuh, termasuk kulit menyebabkan pelbagai gejala. Ruam merah yang bertompok serta berbentuk rama-rama muncul di pipi dan bawah hidung. Gejala lain termasuk sakit sendi, demam, hilang selera makan, loya, kelesuan, dan hilang berat badan.

"Ada juga gejala seperti anemia, masalah psikiatrik dan neurologi, kegagalan buah pinggang, pleurisy, arthritis dan pericarditis. Diagnosis dibuat dengan ujian darah dan biopsi kulit.

“Bentuk rawatan Lupus perlu menumpu kepada kesan sampingannya. Tiada penawar untuk penyakit ini, jadi perkara yang mampu dilakukan pesakit adalah dengan mengurangkan gejalanya. Ubat anti keradangan diberikan untuk kesakitan arthritis dan pleurisy. Ruam kulit boleh dibantu dengan corticosteroids, yang biasanya datang dalam bentuk krim atau losen yang menghilangkan ruam dan melegakannya.

"Jika gejala teruk perlu diperiksa pakar menerusi pemantauan terhadap jenis gejala, pelbagai cubaan ujian dilakukan bagi mengesan jenis rawatan paling berkesan. Bagi mereka yang mengidap Lupus sepanjang hayat, amalan hidup yang sihat seperti diet seimbang, melakukan senaman ringan secara terancang dan persekitaran bebas dari tekanan juga sangat membantu," kata Dr Esha yang mengingatkan mereka memakai payung jika berada di luar.

Pengalaman pesakit

Mengidap SLE memberi seribu pengertian kepada Jean Chan Chok Fun, 55, dari Sandakan Sabah.

"Ia ibarat menari dengan serigala, bagi seorang yang aktif seperti saya yang sentiasa bertenaga dan menghargai keluarga dan kerjaya, saya merasakan hidup ini telah lengkap.

“Saya merasakan diri cukup kuat menghadapi cubaan hidup, tetapi saya hanya manusia biasa, apabila pada Oktober 1994 badan 'mengalah' dan mengalami keletihan kronik yang akhirnya memusnahkan sistem imun badan.

“Perubahan secara tiba-tiba menyebabkan kesihatan saya terjejas, tekanan psikologi sehingga ke hari ini. Rasa kehilangan, kebimbangan dan perasaan ini sentiasa membayangi diri dalam kehidupan seharian,” katanya.

Jean berkata, ketika bergelut dengan penyakit itu, semua otot badannya sakit, radang sendi, badan menjadi lemah dan penat. Dia mengalami demam yang berterusan selama lima minggu, keguguran rambut, melepuh ruam pada kulit kepala dan kehilangan selera makan menyebabkan penurunan berat badan sehingga 10 kilogram dalam tempoh dua minggu.

“Dalam tempoh ini, saya menyedari nodus limfa kiri serviks telah bengkak. Hasil biopsi menunjukkan ia adalah keradangan nod limfa. Selepas melalui ujian darah saya telah didiagnosis dengan Systemic Lupus Eritematosus (SLE).

“Mujurlah, organ-organ dalaman saya tidak terjejas dan pihak hospital menetapkan dos yang tinggi iaitu Kortikosteroid Lisan (Prednisolone) sebagai sebahagian daripada rawatan,” katanya.

Sementara itu, Milawati Arpan Molana, 32,berkata, melihat kepada fizikal mereka tiada kurangnya seperti orang yang sihat di luar sana, cuma pesakit SLE ini tidak boleh terdedah kepada cahaya matahari.

Pertama kali diberitakan mengidap SLE, hidup Milawati menjadi tidak keruan dan dinasihatkan doktor tidak merancang untuk mengandung.

“Kuasa ALLAH tiada siapa menduga ketika disahkan mengandung tiga bulan, pengetahuan pula cetek serta komplikasi, kandungan saya tidak dapat diselamatkan.

“Dari situ, rasa ingin tahu mengenai penyakit ini membuatkan saya menyertai PSLEM, mujur sokongan moral daripada suami dan sentiasa mengikut nasihat doktor supaya tidak lupa makan ubat, penyakit saya bertambah baik dan kini sedang menunggu kelahiran anak kedua," katanya.

Milawati berkata, dalam PSLEM setiap aktiviti dianjurkan semuanya berkaitan pesakit sendiri dari tidak mengetahui apa-apa dan sentiasa bermurung kini merasakan dunia sangat indah jika tahu mengatasinya.

"Penghidap SLE yang ringan mampu menikmati tahap kesihatan hampir normal untuk jangka panjang," katanya.

Sebarang pertanyaan berkaitan Lupus boleh menghubungi talian: 03-79577672, emel: pslem@streamyx.com atau layari www.lupusmalaysia.org.


Makan buah, sayur untuk kacak, jelita

 

LONDON: Amalan memakan buah-buahan dan sayur-sayuran bukan saja menjadikan kulit anda cerah sihat tetapi juga menjadikan penampilan lebih menawan.

Sekumpulan saintis di Universiti St Andrews memantau pengambilan makanan 35 orang dan turut merakamkan gambar mereka sepanjang tempoh berkenaan.
Mereka mendapati, memakan secara purata 2.9 bahagian lebih buah-buahan dan sayur sehari akan menyebabkan seseorang kelihatan sihat dibandingkan dengan orang lain pada akhir kajian, manakala pengambilan tambahan 3.3 bahagian akan menambahkan lagi daya tarikan, lapor Daily Mail.
Buah dan sayur kaya dengan karotenoid yang memelihara daripada kerosakan sel akibat pencemaran dan pancaran ultra ungu dan boleh mencegah masalah berkaitan umur seperti penyakit jantung dan kanser.

Sebelum ini diketahui bahawa memakan terlampau banyak sayur tertentu seperti lobak merah akan menyebabkan kulit bertukar menjadi oren.

Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada peningkatan kecil pigmen merah dan kuning pada kulit dirasakan oleh orang lain atau apa yang dilihat sebagai daya tarikan. – Agensi