Rahsia Urutan Tapak Tangan Dan Tapak Kaki




Pada tapak kaki sahaja ada banyak point yang berkaitan dengan organ dalam badan kita. Menurut buku teks acupressure, urutan di tapak kaki dapat melegakan rasa kurang selesa dan rasa sakit pada bahagian tertentu badan. Refleksologi pun selalu guna bahagian kaki. Jadi kalau terasa sakit-sakit badan tu, boleh la urut-urut tapak kaki dan tapak tangan ikut kawasan yang ditetapkan. Insyaallah dengan kuasa Allah dapat mengurangkan ketidakselesaan itu. Kalau tak hilang terus pun, mungkin dapat  dikurangkan kesakitan tersebut.

Daftar istilah:

*brain - otak
*colon - usus besar
*ear - telinga
*eye - mata
*gallbladder - pundi hempedu
*intestine - usus kecil
*kidney - buah pinggang
*liver - hati
*lung - paru-paru
*ovary - kilang telur perempuan
*pancreas - pankreas
*penis - kemaluan lelaki
*pituitary gland - 
*prostate - kelenjar prostate
*shoulder - bahu
*sinus - bahagian dalam hidung
*stomach - perut
*testis - buah zakar
*thyroid & parathyroid -  kelenjar tiroid (pada leher)
*urinary bladder - pundi kencing
*uterus - rahim

sumber :http://anr-rahmat.blogspot.com

Sihat Dalam Masa 10 Minit

luangkan sedikit masa anda utuk senaman pada setiap hari

Menurut ahli kecergasan, sesiapa yang inginkan badan sihat, cergas dan langsing perlu melakukan senaman selama 45 minit hingga 1 jam setiap hari. Sayangnya...sebagai seorang wanita yang sibuk dengan kerjaya, masa tersebut agak sukar untuk direalisasikan. Jadi, cara yang bagaimanakah untuk anda kekal sihat sepanjang hari.

Ahli kecergasan, Ann Grandjean mengatakan untuk mendapatkan badan yang sihat anda perlu memastikan diri sentiasa bergerak. Contohnya, mulakan dengan aktiviti sederhana seperti menjawab telefon sambil berjalan kaki atau meletakkan kenderaan lebih jauh daripada pejabat. Cara ini sesuai dengan aktiviti yang anda lakukan setiap hari. Paling penting, ada cara tersendiri untuk anda bergerak. 

Manakala menurut Harold Taylor, pemilik Harold Taylor Time Consultants di Toronto mengatakan, walaupun seseorang itu sibuk dengan tugas hariannya, selitkan aktiviti ringkas ini kerana ia boleh membantu meningkatkan kepercayaan dan keyakinan dalam diri. Namun begitu, aktiviti ringkas ini bukanlah pengganti kepada senaman tetapi sekadar suplemen atau tambahan kepada senaman yang sebenar. Berikut beberapa cara yang sederhana untuk bergerak khusus untuk anda yang tidak mempunyai masa bersenam.

Kawasan Rumah

1. Ketika berjalan-jalan atau mengambil udara segar di sekeliling rumah, cuba lakukan lompat bintang (jumping jack). Caranya mudah, berdiri dengan kedua kaki ditutup dan tangan di sisi. Lakukan lompatan dengan membuka kaki dan tangan dibawa ke atas. Kemudian, tutup kaki dan letakkan tangan kembali ke sisi badan. Lakukan selama 5-10 minit kerana dikatakan dapat membakar 90 kalori bagi wanita yang mempunyai berat 75kg.

2. Ketika anda menyiapkan hidangan makan malam untuk keluarga, anda boleh lakukan latih tubi berdiri sambil menunggu air mendidih. Caranya, berdiri dengan mendepakan tangan pada hujung kabinet dapur. Kemudian, tolak tangan ke kabinet almari. Senaman ini untuk melatih tangan dan bahu.

3. Pada waktu malam, sebelum tidur anda tentu sekali akan membersihkan muka atau sapuan losyen pada badan. Jadi, cuba lakukan beberapa latihan yang menggunakan dumbel. Ini adalah saranan daripada instruktor Sheila Cluff yang sentiasa meletakkan dumbel di bawah meja solekan bagi memudahkan membuat latihan ringkas.

Tabiat Yang Boleh Membuat Anda Sakit Kepala


Anda sakit kepala? Sakit kepala memang tidak selesa. Entah dari manalah datangnya tetapi jika anda meneliti tabiat anda, anda boleh mencari dalangnya.
  • Kopi – sekiranya anda sakit kepala pada waktu pagi setelah tidur lewat malam, ia mungkin menandakan penarikan kafein.
  • Komputer – berhenti setiap 20 minit untuk meregangkan leher dan belakang anda.
  • Silau – keletihan mata boleh buat anda sakit kepala. Elak keletihan mata dengan meletakkan lapisan anti-reflektif pada cermin mata dan anti-silau pada monitor anda.
  • Makan dan minum – jarak yang panjang antara masa makan boleh menyebabkan sakit kepala. Juga pastikan anda minum air secukupnya.
  • Relaks – sakit kepala cenderung menjadi teruk dalam usia 30an dan 40an anda. Ini mungkin kerana stres, tekanan dan ini adalah masa yang sibuk dalam kehidupan.
  • Ubat – sesetengah sakit kepala adalah kesan sampingan pengambilan ubat tertentu. Jangan berhenti makan ubat yang dinasihatkan oleh doctor tetapi anda sentiasa boleh bertanya andai ada pilihan lain.


Kebaikan makan pisang

PISANG murah dan mengandungi potasium yang amat berguna dalam menentang
 masalah kesihatan seperti strok.

PISANG sering menjadi pencuci mulut di negara ini. Secara amnya, kandungan potasium pisang menyebabkan ia disyorkan oleh para doktor untuk pesakit yang kekurangan sumber itu.
Sebagai contoh, sebiji pisang sepanjang 22 sentimeter (sm) mengandungi 600 miligram potasium.
Pakar perunding diet, Indra Balaratnam berkongsi maklumat berguna tentang khasiat buah pisang.
Menurut Penolong Setiausaha Persatuan Pakar Diet Malaysia itu, kajian makmal menunjukkan pisang mengandungi kanji sebanyak 20 peratus dan gula satu peratus.
“Ketika pisang berubah warna menjadi kuning dan sedia untuk dimakan, kandungan gula akan berpecah kepada 66 peratus sukrosa, 14 peratus fraktosa, dan 20 peratus glukosa.
“Pada amnya, pisang bebas daripada lemak, kandungan garamnya rendah serta kaya dengan vitamin serta potasium.
“Ini menyebabkan semua jenis pisang dikategorikan sebagai berkhasiat.
“Apatah lagi ia senang untuk dimakan dan dihadam khususnya oleh bayi berusia enam bulan dan ke atas.
Khasiat
“Tidak ada kesan sampingan pada kesihatan walaupun pisang itu manis kerana kandungan gula dalam pisang adalah semula jadi,” katanya.
Kata beliau lagi, terdapat perbezaan antara pisang yang dimakan begitu sahaja dengan kerepek pisang atau pisang goreng.
Menurut beliau, pisang yang digoreng atau dibuat kerepek mengandungi lemak.
Jadi, adalah selamat jika pengambilan pisang goreng dikurangkan kepada seminggu sekali atau sebulan sekali.
Jika digoreng, kandungan khasiat serta vitamin dan zat-zat lain dalam pisang akan berkurangan sebaliknya kandungan lemak akan bertambah.
Ujar beliau, pisang juga dianggap penting dalam bidang perubatan. Di Thailand, misalnya, wanita hamil digalakkan oleh doktor untuk makan pisang bagi memudahkan proses bersalin. Ia juga membekalkan tenaga bagi melawan dan menyembuhkan penyakit.
Beberapa kajian antarabangsa mendapati hampir 15 jenis masalah kesihatan boleh dikurangkan dengan memakan pisang.
“Antaranya, penyakit anemia iaitu kekurangan hemoglobin dalam darah boleh diatasi dengan memakan pisang kerana ia membantu meningkatkan pembentukan hemoglobin.
“Kandungan potasium tinggi dalam pisang turut menolong merendahkan tekanan darah serta mengurangkan risiko strok,” jelas beliau.
Tambah beliau, selain itu, kandungan fibernya yang tinggi dapat membantu masalah pembuangan air besar secara normal setiap hari.
Ia turut mengurangkan tekanan kerana sejenis protein dikenali sebagai Trytophan yang ada di dalamnya membantu menenangkan fikiran serta otak orang yang berada dalam tekanan.
Katanya lagi, orang yang bergelut dengan penyakit ketakutan, obesiti dan tabiat rokok, digalakkan mengamalkan pemakanan pisang dan mereka dipercayai mampu bebas daripada masalah itu secara beransur-ansur.
Kajian turut membuktikan bahawa seseorang yang berdepan masalah mabuk hamil khususnya wanita yang berasa mual dan muntah pada beberapa bulan pertama kehamilan, boleh mengambil pisang untuk mengelak masalah itu.
Di samping itu, mereka yang menghadapi masalah kegemukan akibat tekanan di tempat kerja boleh diatasi dengan memakan pisang setiap dua jam.
Ia dapat membantu menghilangkan tekanan kerja selain mengawal kandungan gula dalam darah. Bahagian dalam kulit pisang pula membantu memulihkan kegatalan akibat gigitan nyamuk.
“Apa yang penting, kita perlu memberi tumpuan pada kesihatan dengan mengamalkan tabiat makan pisang.
“Bagi anak-anak, kita sangat mudah untuk menyuruh mereka makan pisang kerana ia manis dan lembut. Ia boleh disediakan dalam bentuk kek, mufin dan roti pisang,” katanya.
Laris
Pisang boleh diperoleh sepanjang tahun. Di negara ini, pisang rastali, emas, tanduk, abu dan berangan adalah yang paling laris. Ia turut menjadi tumpuan peniaga pisang goreng dan kerepek.
Seorang peniaga buah-buahan di Pasar Keramat, Kuala Lumpur, Ramli Mat Dalip, 42, berkata, pisang sentiasa menjadi pilihan orang ramai dan ia adalah salah satu buah yang boleh didapati sepanjang tahun.
Kata beliau yang berniaga sejak 15 tahun lalu, pisang berangan dan abu sering dibeli peniaga kerepek atau kuih.
Bagaimanapun, katanya, pisang emas dan berangan memang laris dijual dan dibeli pengguna kerana rasanya manis dan boleh dimakan begitu sahaja.
“Dari segi harga, tidak banyak perbezaan kerana harga pisang mengikut jenisnya iaitu dijual sekitar RM2.80 hingga RM3 sekilogram.
“Permintaan terhadap pisang pada musim perayaan khususnya Tahun Baru Cina, Hari Wesak dan Deepavali juga memberangsangkan.
“Pengguna kerap datang meminta pisang emas dan rastali kerana saiznya kecil iaitu di antara tujuh hingga 10 sm.
“Mereka akan menggunakan pisang itu dalam upacara sembahyang selain untuk dimakan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga Romlah Ahmad, 31 menjelaskan, berbanding buah-buahan lain khususnya yang diimport, pisang tidak menghadapi masalah kenaikan harga.
“Pisang tidak menghadapi masalah itu. Harganya di mana sekali pun lebih kurang sama iaitu kekal sekitar RM2.80 hingga RM3.50 sekilogram.
“Lagipun pisang dikatakan paling berkhasiat dan kaya dengan zat dan vitamin. Tidak hairanlah jika orang ramai gemar memakannya,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pensyarah sebuah kolej swasta di ibu negara, Daljit Kaur, 36, berkata, beliau dan keluarga gemarkan pisang kerana kebaikan yang diperoleh daripada buah tersebut.
Katanya, sejak kecil lagi beliau suka makan pisang dan pernah sekali beliau berdepan dengan seorang rakan yang mempunyai masalah kekurangan hemoglobin dalam darah dan mencadangkan supaya dia makan pisang untuk mengatasi masalah tersebut.
“Selepas itu, saya dapati kesihatannya bertambah baik bahkan setahun kemudian, boleh dikatakan dia bebas sepenuhnya daripada masalah itu.
“Selain itu, ketiga-tiga anak saya yang berusia di antara enam hingga 13 tahun juga gemar makan pisang setiap hari.
“Mereka nampaknya sihat dan tidak menghadapi kesukaran untuk membuang air besar lagi,” katanya.
sumber: Kosmo





Perokok mudah cepat pekak



NEW YORK – Remaja perokok dan ibu yang merokok semasa mengandung antara golongan berisiko besar mengalami masalah pendengaran serta memahami apa diperkatakan, menurut kajian di Amerika Syarikat (AS).
Penyelidikan pasukan pakar perubatan Universiti Yale terhadap 67 remaja mendapati mereka yang merokok menghadapi masalah menumpukan perhatian dan mentafsirkan bunyi apabila terdapat sebarang gangguan.
Selain itu, hasil imbasan otak, pengkaji mendapati terdapat perubahan kepada bahagian putih otak yang bertanggungjawab dalam menghantar maklumat. Kajian itu diterbitkan dalam majalah terbaru, New Scientist.
Remaja yang merokok didapati menjadi golongan yang banyak menghadapi masalah di bahagian putih otak berdasarkan imbasan otak. Kajian selanjutnya berdasarkan ujian komputer yang meminta mengenal pasti perkataan selain gangguan imej visual atau bunyi bising sampingan.
Sebahagian besar lelaki perokok yang diuji kaji akan mendapat 77 peratus betul manakala mereka tidak merokok memperoleh 85 peratus betul. Bagi wanita pula nisbahnya 84 peratus kepada 90 peratus.
Menurut ketua penyelidik, Leslie Jacobsen, individu terbabit menghadapi masalah pendengaran apabila terdapat gangguan contohnya situasi ramai bercakap dan banyak perkara yang perlu dilakukan. - Agensi

Kurus Tidak Bermakna Anda Sihat

Mereka yang kurus selalunya lebih banyak makan makanan berlemak, makanan bergula dan tidak bersenam

Tidak semestinya kurus itu sihat. Lemak yang mengelilingi organ penting seperti jantung, hati dan pankreas - yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar - sama bahayanya dengan lemak yang menjadi sebahagian bentuk badan orang gemuk.

"Kurus tidak bermakna secara automatik anda tidak gemuk," kata Dr Jimmy Bell, Profesor Imbasan Molecular di Kolej Imperial, London. Sejak 1994, Bell dan rakan setugasnya mengimbas lebih 800 orang bagi menghasilkan 'peta gemuk' bagi mencari di mana lemak tersimpan.

Menurut data yang diperoleh Bell, mereka yang mengekalkan berat badan melalui diet, memiliki lebih banyak lemak walaupun pada mata kasar mereka kelihatan kurus. Senario ini lebih bahaya kerana orang kurus selalu berasa mereka sihat kerana tidak gemuk.

Sebelum ini, orang kurus dianggap lebih aktif dan sihat, tetapi menjadi orang kurus yang tidak cergas juga sama tinggi risikonya dengan mereka yang obes dan tidak aktif. Begitupun, berita baiknya lemak pada bahagian dalam boleh dibakar melalui senaman atau memperbaiki pengambilan diet.

"Jika mahu kelihatan kurus, diet memang sudah mencukupi, tetapi untuk menjadi kurus dan sihat, senaman adalah komponen gaya hidup terpenting," kata Bell.

Daripada 800 responden, Bell mendapati 45 peratus yang memiliki BMI antara 20 hingga 25 orang memiliki lebih banyak lemak tersimpan. Daripada jumlah itu 60 peratus adalah lelaki. Senario itu yang dinamakan sebagai TOFIs — 'thin outside, fat inside'. "Lebih kurus seseorang itu, lebih besar kejutannya," katanya.

Mereka yang kurus selalunya lebih banyak makan makanan berlemak, makanan bergula dan tidak bersenam, tetapi jumlah pemakanan itu tidak cukup banyak untuk membuatkan mereka gemuk dari segi penampilan.

Saintis percaya tubuh menyembunyikan lemak pada bahagian dalam dahulu sebelum lemak 'muncul' pada bahagian lain seperti perut. Begitupun, masih ramai pakar percaya BMI adalah ukuran tepat untuk kesihatan yang baik.

Pakar pemakanan dari Majlis Penyelidikan Perubatan BrItain (MPPB), Dr Toni Steer, berkata pakar perubatan tidak pasti mengenai bahaya lemak pada bahagian dalam tetapi sesetengah pakar meramalkan ia boleh menyumbang kepada risiko serangan jantung dan diabetes, ini berdasarkan teori lemak pada bahagian dalam mengganggu sistem komunikasi. 

Lemak yang menyelaputi organ dalaman mungkin menghantar isyarat kimia badan yang salah untuk menyimpan lemak di dalam organ seperti hati dan pankreas. Ia boleh membawa kepada masalah penolakan insulin (diabetes jenis 2) atau serangan jantung.

"Menjadi seorang yang kurus tidak bermakna dia kebal pada serangan diabetes atau tidak berisiko pada serangan jantung," kata Dr Loius Teichholz dari Hackensack Hospital, New Jersey.

Teichholz berkata, mereka yang memiliki jisim berat badan normal juga boleh memiliki tahap lemak 'tersimpan' yang memeranjatkan.

Enam Panduan Apabila Menghadapi Pertengkaran



Hindari Perlakuan Fizikal atau Kekerasan

Hindarilah pertengkaran yang sudah melibatkan tindakan fizikal (kekerasan). Apatah lagi jika pertengkaran antara suami isteri - uhh jangan sesekali lakukan kekerasan, kerana kekerasan itu menandakan anda lemah mengawal emosi anda dan bukannya anda kuat kerana menggunakan fizikal.

Luahkan Rasa Kekecewaan

Apabila bertengkar, luahkan perasaan anda secara terbuka. Sama ada anda sedih, kecewa, marah, putus asa dan merasa diabaikan, ungkaplah perasaan tersebut dengan kata-kata dan jangan dipendam. Jika dipendam, maka pihak satu lagi tidak tahu apakah permasalahan sebenar yang sedang ditengkarkan. Jangan biarkan ia menjadi nanah dalam sesebuah perhubungan.

Hindari Dari Mengeluarkan Kata-Kata Kesat Dan Mengaibkan

Jangan sesekali merendah-rendahkan pihak yang sedang bertengkar dengan menggunakan perkataan yang menjatuhkan maruah. Ia bukan sahaja akan menyemarakkan pertengkaran, malah akan menjadikan satu pertengkaran itu berakhir dengan satu yang tiada penyelesaian.

Jangan Kritik Peribadi Seseorang

Mahu kritik adalah tindakannya, bukan peribadi. Peribadi mungkin tidak secantik perilaku, tetapi kerana kelakuan berlakunya sesuatu masalah, dan bukannya kerana peribadinya. Jadi, berhati-hati jangan sampai menkritik keperibadian, kerana ini juga boleh mengaibkan. Buat teguran dan hujahlah kerana tindakan yang diambil.

Elakkan Dari Menyampuk

Dengar apa yang ingin diperkatakan, supaya anda tahu fakta dan keadaan sebenar mengapa pertengkaran itu berlaku pada mulanya. Jadi pendengar yang baik, dengari apa yang dihujahkan sebelum anda membuat kesimpulan dan meneruskan hujah anda dalam pertengkaran anda itu. Jika anda tidak mendengar, anda mungkin tersalah sangka dan tersilap faham.

Jangan Meleret

Jangan jadikan sebab atas penyebab yang lain. Contohnya, anda marah tiba-tiba bila si dia membuat air kopi sedangkan yang anda marahkan ialah sikapnya dalam perkara lain. Jangan menjadikan satu perkara kecil untuk menjadi penyebab pertengkaran anda yang sebenarnya tiada kaitan langsung. Cuba debatkan hal yang berkaitan sahaja.

Anda Sakit Kepala?


Sakit kepala memang tidak selesa. Entah dari manalah datangnya tetapi jika anda meneliti tabiat anda, anda boleh mencari dalangnya.
  • Kopi – sekiranya anda sakit kepala pada waktu pagi setelah tidur lewat malam, ia mungkin menandakan penarikan kafein.
  • Komputer – berhenti setiap 20 minit untuk meregangkan leher dan belakang anda.
  • Silau – keletihan mata boleh buat anda sakit kepala. Elak keletihan mata dengan meletakkan lapisan anti-reflektif pada cermin mata dan anti-silau pada monitor anda.
  • Makan dan minum – jarak yang panjang antara masa makan boleh menyebabkan sakit kepala. Juga pastikan anda minum air secukupnya.
  • Relaks – sakit kepala cenderung menjadi teruk dalam usia 30an dan 40an anda. Ini mungkin kerana stres, tekanan dan ini adalah masa yang sibuk dalam kehidupan.
  • Ubat – sesetengah sakit kepala adalah kesan sampingan pengambilan ubat tertentu. Jangan berhenti makan ubat yang dinasihatkan oleh doctor tetapi anda sentiasa boleh bertanya andai ada pilihan lain.


Berjemur baiki kualiti sperma


JIKA ingin segera menjadi seorang bapa, terdapat satu rahsia mudah yang boleh diikuti sekali gus merealisasikan impian anda untuk menimang cahaya mata dalam tempoh singkat.
Jadikan berjemur pada waktu pagi sebagai rutin harian anda. Sinaran mentari yang kaya dengan vitamin D itu dikatakan bagus untuk meningkatkan kualiti kesuburan kaum Adam.
Satu kajian yang dijalankan oleh sekumpulan pakar di Universiti Copenhagen, Denmark, yang melibatkan 340 lelaki mendapati bahawa vitamin D—mikronutrien yang dihasilkan tubuh ketika berjemur waktu pagi dapat meningkatkan kualiti sperma.
Ini kerana sel sperma yang mempunyai kadar vitamin D yang mencukupi akan lebih aktif berenang menuju sel telur.
“Selain mampu bergerak lebih pantas, sel sperma tersebut juga didapati mempunyai kadar penetrasi yang lebih tinggi," ungkap Dr. Martin Blomberg Jensen.-kosmo


Alergi bukan cuma di kulit

ALAHAN kepada habuk dan kulapuk menyebabkan mangsa bersin sepanjang hari.

ADAKAH anda sering mengalami hidung berair, episod bersin berulang kali, berasa gatal di hidung dan mata, serta hidung tersumbat?
Jika jawapan anda ialah ‘ya’ bagi semua atau mana-mana soalan, ia mungkin simptom alergi rinitis dan perkara terbaik untuk dilakukan ialah berjumpa doktor dengan segera.
“Kemungkinan satu daripada setiap tiga warga Malaysia menghidap satu bentuk alergi dengan kebanyakannya berlaku kepada kumpulan umur lebih muda,” kata Dr. Amir Hamzah Abdul Latiff, Presiden Pertubuhan Malaysia bagi Alergi dan Imunologi (MSAI).
Lazimnya ramai yang masih belum jelas akan masalah alergi. Secara ringkas, ia sejenis gangguan hipersensitif pada sistem imun.
Dalam kebanyakan kes, simptom dapat dilihat di tiga bahagian tubuh iaitu gastrousus, respiratori dan kulit.
Simptom
Kanak-kanak berusia sehingga lima tahun lebih cenderung untuk mengalami simptom di bahagian gastrousus dan kulit.
Sementara itu, simptom alergi respiratori akan bermula apabila seorang kanak-kanak mencapai usia tiga tahun dan selepas usia lima tahun ia secara perlahan-lahan berkembang sebagai simptom alergi paling lazim.
Reaksi alergi bermula apabila seseorang dengan sistem imun hipersensitif terdedah kepada alergen yang boleh jadi hama debu yang ditemui di rumah, rumput, pokok, debunga, haiwan kesayangan, lipas, kulapuk, habuk dan yang lain.
Sebagai tindak balas, tubuh akan mengaktifkan sejenis sel darah putih yang dikenali sebagai sel masta yang kemudian mencetuskan respons inflamasi.
Secara fizikal, kesan ini dapat dilihat apabila mereka yang terbabit mula bersin berulang kali, mengalami hidung berair dan berasa gatal di hidung dan mata.
Simptom ini boleh bertambah buruk jika tiada tindakan diambil. Selepas beberapa jam, mereka yang terbabit mungkin mengalami hidung tersumbat, mata membengkak, rasa letih, tidak dapat mengawal perasaan atau mengalami gangguan tidur.
“Ramai rakyat Malaysia tidak menyedari bahawa terdapat pencetus spesifik bagi alergi, atau impak yang disebabkan oleh alergi pada aktiviti harian dan prestasi mereka,” tambah Amir Hamzah.
Para penyelidik dari Universiti Malaya yang menjalankan saringan rambang ke atas 136 responden di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur pada tahun 2010 menemui satu data penting iaitu walaupun 79 peratus responden mencatatkan episod alergi rinitis, hanya 28 peratus daripada mereka mendapatkan rawatan.
Debu
Keputusan saringan itu juga menunjukkan bahawa pencetus utama adalah debu, cuaca dan makanan. Sejumlah 80 peratus daripada responden menyalahkan debu bagi masalah itu diikuti oleh faktor cuaca dan alergen berkaitan makanan.
Kualiti kehidupan mereka yang terbabit juga terjejas teruk. Hampir 53 peratus daripada mereka mengalami gangguan tidur, 41 peratus menyaksikan masalah ini menjejaskan produktiviti mereka dan 31 peratus mendapati gaya hidup sosial mereka terjejas.
Bagi orang seperti Pook Mei Foong, 30, semasa usia lima tahun beliau mengalami masalah hidung berair dan mata gatal apabila pergi ke tempat yang sejuk seperti Cameron Highlands.
“Selain daripada simptom ini, saya mula merengus dan mood saya tidak baik.
“Saya tidak dapat menikmati kehidupan seperti mereka yang lain sehingga saya menemui penawar dan saya kini berasa hebat,” katanya.
Pada usia 28 tahun, Mei Foong memutuskan untuk berjumpa doktor berhubung masalah itu yang akhirnya menemui jalan penyelesaian - ubat pil harian dan penyembur nasal.
“Alergi tidak boleh hilang tetapi dengan bantuan doktor ia boleh diuruskan.
“Mereka yang mengenali diri saya berkata saya kini nampak lebih ceria,” tambah beliau.
“Sementara alergi tidak memudaratkan, impak terhadap kehidupan mereka yang menghidapnya dapat dilihat daripada simptom fizikal hinggalah tekanan emosi yang banyak menyukarkan kehidupan mereka,” kata Dr. Jeevanan Jahendran, Ahli Jawatankuasa Eksekutif, Pertubuhan Malaysia bagi Pakar-pakar Otorinolaringologi - Pakar-pakar Bedah Kepala dan Leher (MSO-HNS).
Kurangnya kesedaran akan keadaan ini menjadi punca mengapa banyak kes tidak dapat didiagnosis dan dirawat.
Hari ini, Mei Foong boleh ke mana-mana dan dapat menjalankan tugas dengan baik sebagai pengatur cara komputer, yang memerlukan beliau bertugas di pejabat-pejabat yang sejuk. Beliau juga mula belajar berenang yang menjadi sukan pilihannya.
– Bernama