MERS-CoV, Penyakit Baru yang Mengancam Dunia

Virus Mers menyerang sistem pernafasan manusia dan turut menyebabkan kegagalan organ. Gambar Kecil: Gambaran virus


Pada September 2012, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan kes jangkitan virus yang dinamakan Middle East Respiratory Syndrome Corona Virus (MERS-CoV) yang dahulunya dikenali sebagai Novel Coronavirus telah dikesan dari negara-negara di Asia Barat seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Jordan, Qatar dan Tunisia.


Bagi kes-kes yang dikesan di negara-negara Eropah seperti Itali, Jerman, Perancis dan United Kingdom, ini sama ada mempunyai sejarah lawatan ke rantau Asia Barat atau sejarah hubungan dengan pelawat yang mempunyai gejala sejurus pulang dari lawatan di Asia Barat.

Sehingga 9 Julai 2013, WHO telah melaporkan sebanyak 82 kes disahkan mengidap MERS CoV dengan 45 kematian seluruh dunia. Ini menjadikan jangkitan virus ini amat merbahaya dengan kadar kematian yang tinggi, melebihi 50 peratus.

Sebenarnya masih banyak lagi fakta yang belum diketahui atau dikenal pasti mengenai virus ini termasuk punca dan cara jangkitan.

Walau bagaimanapun virus ini mungkin boleh merebak melalui hubungan secara langsung dengan pesakit atau melalui titisan daripada salur pernafasan seorang pesakit kepada orang lain.

Golongan yang dianggap mempunyai risiko tinggi untuk mendapat jangkitan virus MERS-CoV adalah warga emas, mereka yang mengidap penyakit kronik dan mempunyai kurang daya tahan terhadap jangkitan penyakit.

Sehingga sekarang, tiada rawatan khusus atau vaksin untuk mengelak jangkitan MERS-CoV ini. Tanda-tanda jangkitan virus MER-CoV adalah seperti demam dan kesukaran bernafas iaitu tanda-tanda radang paru-paru (pneumonia) yang berlaku secara akut dan serius serta cirit-birit.

Cara penyebaran lebih rumit

Susulan daripada itu, beberapa ujian telah dijalankan ke atas haiwan mamalia seperti unta, kelawar dan kambing di Saudi.

Bagaimanapun, sampel yang diperoleh di Riyadh menunjukkan kepelbagaian genetik Mers-CoV secara meluas.

Hal ini bermakna virus itu disebarkan melalui sumber haiwan dari tempat lain yang kemudiannya disebarkan ke kawasan terbabit.

Beberapa pakar berpendapat kawasan di ibu negara Saudi lebih terdedah kerana ia merupakan pusat populasi terbesar di negara tersebut.

Profesor Alimuddin Zumla dari Universiti Kolej London yang turut sama membantu penyelidikan Lancet berkata, cara virus itu tersebar sebenarnya lebih rumit daripada apa mereka
jangkakan.

“Ia mungkin melibatkan ‘pengantara’ kerana kebanyakan kes yang dikenal pasti menunjukkan pesakit tidak mempunyai hubungan dengan haiwan secara langsung.

Menurutnya lagi, sumber sebenar virus Mers tersebut masih tidak jelas dan beberapa hipotesis yang dibuat menunjukkan ia mungkin disebarkan oleh makanan.

Sehingga 18 Oktober lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sebanyak 139 kes dan 60 kematian akibat Mers direkodkan di seluruh dunia.

Bagaimanapun, 119 daripada kes jangkitan itu termasuk 51 kematian dilaporkan di Saudi iaitu selepas virus misteri tersebut dikenal pasti untuk pertama kali oleh ahli virologi Mesir, Dr Ali Mohamed Zaki pada 24 September 2012.

Bermula dengan selesema biasa

Jumlah kematian yang semakin meningkat di negara itu menyebabkan banyak pihak mula bimbang dengan nasib jutaan jemaah haji pada tahun ini.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa kesihatan di Timur Tengah telah menghantar kumpulan sokongan untuk memberi penerangan kepada jemaah tentang tindakan perlu diambil jika berasa kurang sihat selepas kembali dari Saudi.

Difahamkan, sukar untuk mengenal pasti simptom awal jangkitan virus Mers tersebut kerana ia hanya bermula dengan selesema biasa.

Dalam usaha untuk mengesan penyebaran virus tersebut, WHO telah menubuhkan Jawatankuasa Peraturan Kesihatan Kecemasan Antarabangsa.

Jawatankuasa itu juga mendapati  amaran tahap tinggi tidak perlu dikeluarkan seperti ketika penularan wabak Sars, H5N1 dan selesema babi di beberapa negara sebelum ini.     

Ketua teknikal penyelidikan Mers di Geneva, Dr Anthony Mounts berkata, tiada laporan menunjukkan virus itu merebak dalam kalangan masyarakat kerana ia hanya menjangkiti kaki tangan perubatan yang berhubung secara terus dengan pesakit.

"Kami tidak akan berputus asa untuk mengenal pasti punca virus ini, namun apa yang jelas ia tiada kaitan dengan Sars," jelasnya lagi.


Langkah Pencegahan 

1. Sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, seperti kerap mencuci tangan, terutama selepas batuk, bersin atau selepas bersalam.

2. Sentiasa membawa penutup hidung dan mulut serta pencuci tangan untuk digunakan ketika perlu.

3. Sentiasa mengamalkan etika batuk (cough etiquette) yang baik.

4. Mengelakkan daripada mengambil makanan mentah atau tidak dimasak sepenuhnya.

5. Membasuh buah-buahan dan sayur-sayuran terlebih dahulu sebelum dimakan.

6. Mengelak minum air tidak terawat.

7. Memakai penutup hidung dan mulut sekiranya terdapat tanda-tanda jangkitan MERS-CoV dan dapatkan rawatan segera.


No comments:

Post a Comment