Ada segelintir yang menyatakan lelaki menyimpan janggut dan misai akan kelihatan lebih muda daripada usia sebenar. Meski kajian mengenainya belum dapat disahkan namun jika dilihat secara rambang ia ada benarnya.
Tahukah anda kebanyakan selebriti Hollywood yang menyimpan janggut dan misai berjaya menyembunyikan usia sebenar? Nama-nama seperti George Clooney, Ben Affleck dan Bradley Cooper kelihatan 10 tahun lebih muda daripada usia sebenar mereka.
Selain kekal awet muda, kebaikan menyimpang janggut dan misai dapat menghindarkan diri daripada penyakit. Ayuh kita lihat antara kebaikannya:
Perlindungan daripada cahaya matahari
Janggut dikatakan mampu menghindari diri daripada terkena kanser kulit. Hal ini terbukti apabila para penyelidik berpendapat janggut dan misai yang rata boleh melindungi kulit dari sinaran UV berbahaya.
Mencegah lelah
Pesakit lelah senang jatuh sakit apabila terdedah kepada kawasan berhabuk. Oleh kerana itu, misai yang tumbuh di sekitar bawah hidung boleh menghindarkan habuk tersebut dari memasuki rongga hidung.
Lambatkan proses penuaan
Nah, rerambut yang terdapat di kulit wajah mampu menyimpan lembapan, membuatkan kulit sentiasa lembap. Dengan lembapan tersebut, kulit akan kelihatan muda dan berkeadaan baik. Namun lelaki pastikan janggut dan misai anda dijaga dengan kemas dan rapi.
Melawan batuk
Tahukah anda janggut yang tumbuh lebat di sekitar kawasan dagu dan leher mampu menaikkan suhu leher? Ia sekali gus dapat mencegah jangkitan selesema.
Menghalang ruam di muka
Ruam sering diakibatkan oleh kaedah mencukur yang tidak dibuat dengan berhati-hati. Bagi mengelakkan berlakunya masalah tersebut, adalah lebih elok untuk menyimpan janggut sahaja seterusnya menyelesaikan masalah ruam di muka.