Sindrom PMS remaja


Sebahagian besar wanita, sindrom pramenstruasi (PMS) sering menjadi mimpi buruk kerana biasanya sindrom ini membuat suasana hati menjadi tidak menentu.Wanita menjadi lebih sensitif jika sedang mengalami PMS. Masalah kecil dan biasa dianggap besar. Kesalahan kecil yang dilakukan orang lain di hadapannya biasa membuatnya menggerutu seharian.

Sebenarnya tidak semua wanita mengalami simptom ini. Begitu juga bagi mereka yang mengalami PMS, jenis atau bilangan simptom serta tahap keseriusan berbeza. Kebanyakan gadis remaja atau wanita akan mengalami perubahan sikap dan tubuh badan beberapa hari sebelum didatangi haid. Keadaan ini terjadi kira-kira dua minggu sebelum bermulanya haid.

Wanita yang sedang PMS akan mengalami perkara-perkara di bawah beberapa hari sebelum didatangi haid dan simptom tersebut akan hilang setelah haid datang. Perkara-perkara tersebut adalah perubahan emosi. Seseorang mungkin menjadi pemarah dari biasa dan kadang-kala perkara remeh temeh juga membuatkan wanita tersebut menangis.

Pada masa ini pengidap memerlukan masa untuk bersendirian. Ada juga yang berasa ketidakselesaan seperti merasa diri gemuk, hodoh dan perut berasa kembung beberapa hari sebelum haid. Pada masa ini juga ada yang berasa kesakitan pada otot dan juga payudara menjadi lebih sensitif terhadap sebarang sentuhan. Ada pula yang merasa mengidam beberapa makanan dan tidak menghiraukan makanan lain. Kemungkinan juga ada yang mengingini makanan yang manis dan masam. Tahap konsentrasi seseorang pengidap menjadi lemah dan memerlukan masa yang lebih lama dari biasa untuk menyelesaikan sesuatu tugasan atau masalah.

FaktorPMS disebabkan oleh pelbagai faktor. Salah satunya adalah disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon. Peningkatan aras hormon estrogen dan penurunan aras hormon progesteron yang merupakan hormon utama wanita boleh menyebabkan PMS. Estrogen membuatkan tubuh manusia menyimpan lebih banyak cecair dan ini menjelaskan kenapa seseorang berasa kembung dan terasa berat beberapa hari sebelum haid.Ia juga disebabkan ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak. 

Wanita yang mengalami PMS mempunyai tahap serotonin yang rendah dan ini menyebabkan perubahan emosi dan seseorang mudah menjadi agak pemarah. Kekurangan vitamin juga boleh menyebabkan PMS. Sekiranya seseorang tidak mengambil makanan yang kaya dengan Vitamin A dan B seperti sayuran hijau dan kuning, boleh juga mengalami PMS. Vitamin ini menolong mengekalkan keseimbangan di dalam otak. Stres yang berlebihan, kurang tidur dan masalah emosi juga boleh menyebabkan PMS.

Ada beberapa cara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan gejala PMS. Mula-mula ubah diet dengan memperbanyakkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan. Boleh juga mengamalkan pengambilan vitamin B tambahan sepanjang tempoh itu. Lakukan senaman seperti berjalan, berlari dan berenang secara kerap. Ajak kawan-kawan atau keluarga menemani anda. Ini akan menjadikan senaman lebih ceria dan menyeronokkan.

Ada sesetngah wanita mengalami PMS yang teruk. Mereka akan merasa sangat sedih dan tertekan sepanjang tempoh ini. Perubahan emosi juga boleh mengeruhkan perhubungan antara suami isteri dan juga rakan-rakan. Lebih elok berjumpa doktor pakar jika anda merasa tidak selesa dengan PMS. Bergantung pada hasil diagnosis, ubat-ubatan mungkin diberikan oleh doktor. Bagaimanapun, waktu ini adalah tempoh yang sesuai untuk mendapatkan kepastian daripada doktor tentang sebarang keraguan dan kebimbangan anda. Sama-sama saya doakan moga masalah ini dapat di atasi.



Boleh gemuk layan laman sosial


Kajian mendapati wanita sanggup tidak bersarapan kerana menghabiskan masa melayari internet. 


LOS ANGELES 17 April - Kajian mendapati hampir empat daripada 10 orang wanita berisiko menjadi gemuk kerana tidak mengambil sarapan pagi semata-mata mahu menghabiskan masa melayari internet terutamanya laman sosial seperti Facebook dan Twitter atau memeriksa e-mel.

Tekanan hidup dalam dunia moden ini menyebabkan hanya 63 peratus golongan wanita mengambil sarapan di rumah dengan selebihnya memilih untuk melayari internet.

Sekurang-kurangnya seorang daripada tiga orang dewasa akan memeriksa e-mel pada sebelah pagi, manakala satu perempat pula lebih gemar melayari Facebook dan Twitter.

Golongan itu tidak menyedari bahawa kajian itu juga mendapati mereka yang tidak mengambil sarapan akan terdedah untuk mengambil makanan yang banyak semasa makan tengah hari.

Keadaan itu menyebabkan mereka mudah menjadi gemuk kerana makanan yang diambil pada tengah hari mengandungi lebih banyak lemak dan manis.

Kajian itu juga mendapati hampir satu daripada lima orang tidak mengambil sarapan pagi selagi tidak menyiapkan kerja mereka.

Manakala terdapat juga yang mengambil sarapan semasa berada di dalam perjalanan ke tempat kerja.

Kajian juga mendapati, satu daripada tujuh orang terlepas mengambil sarapan kerana mereka sibuk dengan tugasan di rumah.

Malah satu daripada dua orang mengakui tahap tenaga mereka akan menjadi lemah jika terlepas sarapan manakala 45 peratus lagi memberitahu mereka merasa lebih produktif apabila mengambil sarapan pagi.

Penyelidik telah memberi amaran bahawa seseorang yang tidak mengambil makanan dalam tempoh yang panjang akan mengidam makanan berkalori tinggi yang berlebihan. - AGENSI








20 TIP KURUS MUDAH & BERKESAN


1. Mulakan hari anda dengan menu dan jumlah sarapan yang mencukupi. Ini akan membantu mengurangkan jumlah kalori sepanjang hari. 

2. Pastikan setengah hidangan untuk makan tengahari dan makan malam mengandungi sayuran dan buahbuahan 

3. Makanlah sedikit sebelum anda menghadiri majlis makan malam. Ambillah telur rebus, epal dan minumlah teh sebelum ke majlis tersebut. Ini akan mengurangkan nafsu makan di majlis itu 

4. Tambahkan satu hidangan untuk buahbuahan dan sayuran pada menu anda. Jika anda sudah lakukan, anda boleh tambahkan hidangan ini sehingga lapan  hidangan sehari untuk sayuran dan buahbuahan.

5. Untuk setiap hidangan, jangan sesekali menggunakan pinggan yang besar. Gunalah piring salad setiap kali anda makan tengahari dan makan malam

6. Ambillah hidangan sup yang lebih banyak. Sup biasanya rendah kalori dan membuatkan anda cepat kenyang.

7. Bawalah bekal ke pejabat. Ini untuk  membantu mengelakkan anda makan tengahari secara berlebihan.

8. Cubalah untuk tidak mengambil gula selama dua minggu. Mesti rasanya luar biasa dan menutup nafsu makan anda. Namun, jika anda bertahan, pasti akan menjadi kebiasaan. 

9. Jangan ‘jadikan’diri anda gemuk dengan ‘memenuhi’  permintaan perut.Anda masih boleh mengambil 600 kalori dengan biskut atau bijirin tanpa anda sedari.

10. Jika anda suka mengunyah ketika stres, inilah masanya untuk berubah. Anda harus fokus mencari cara lain yang lebih sihat. Carilah jalan untuk mengatasi stres tanpa melibatkan makanan. 

11. Berusahalah untuk mengambil menu  rendah kalori sebelum mengambil hidangan lain. Mulakan dengan salad, sayuran dan sup. Apabila tiba pada makanan utama, sudah tentu perut anda penuh untuk menerima menu tinggi kalori 

12. Ambillah sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam. Sebahagian dari anda suka hobi makan di tengah malam. Ini adalah cara mereka yang makan tidak teratur atau suka mengambil makanan tidak seimbang. 

13. Jadikan makanan sebagai hidangan yang mempunyai tujuan iaitu ‘hidup sihat’. Nikmatilah makanan itu dan yakin bahawa makanan itu akan memberikan nutrisi pada badan anda. 

14. Ubahlah jadual makan malam anda. Kalau kebiasaan anda suka mengunyah, cubalah kurangkan sedikit demi sedikit. Lama kelamaan ia akan membuatkan tangan dan fikiran andalupa pada snek malam.

15. Jadikan aerobik sebagai aktiviti yang menyenangkan. Ajaklah keluarga untuk bergerak dengan muzik kegemaran anda 


16. Tulis di atas sekeping kertas ‘tutup selepas makan malam’. Tampalkan di pintu peti

17. Gosoklah gigi selepas waktu makan malam. Ini untuk mengingatkan anda bahawa waktu makan sudah habis.

18. Bersenamlah dan jadikan ia sebagai kegiatan yang menyihatkan.

19. Makanlah ketika tiba waktu makan. Jangan sesekali melakukan perkara lain pada waktu makan seperti membaca, menonton televisyen atau melayari internet.

20. Sebelum anda membeli belah, berjalanlah sebanyak tiga pusingan di pusat membeli belah tersebut.






Bahaya 'garam tersembunyi'

Bahaya 'garam tersembunyi'

Garam apa yang dibayangkan ialah serbuk putih sering digunakan sebagai penambah rasa dalam masakan. Namun, berapa banyakkah garam yang diperlukan? Saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pengambilan garam sepatutnya lima gram termasuk 'garam tersembunyi'. 


Ini merujuk kepada garam terkandung dalam bahan makanan seperti kicap, sos, mayonis, keju, ikan masin, penambah perisa dan kiub perasa. Makanan siap diproses seperti sosej dan makanan dalam tin juga tidak terkecuali mengandungi garam tersembunyi ini.

Menyokong tema Hari Sambutan Kesihatan Sedunia disambut, pada 7 April ini yang bertemakan Tekanan Darah Tinggi, Kementerian Kesihatan menekankan mengenai pengurangan pengambilan garam tersembunyi untuk mengurangkan kadar risiko penyakit bahaya dalam kalangan penduduk.

Rahsia garam tersembunyi
Mungkin ramai masih samar mengenai kehadiran ‘garam tersembunyi, menjelas lanjut mengenai kandungan itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Feisul Idzwan Mustapha, berkata corak pengambilan makanan berasaskan garam perlu diberi penekanan dan disiplin bagi mengurangkannya kebergantungan terhadap penambah rasa itu.

Katanya, pengambilan garam yang tinggi antara penyumbang kepada tekanan darah dan peningkatan penyakit angin ahmar dan jantung.

“Apabila menyentuh mengenai penggunaan garam dalam masakan, ramai merujuk kepada serbuk putih digunakan di dapur. Tapi mereka tidak sedar sebenarnya makanan diproses dan sos atau perencah penambah rasa turut mempunyai kandungan garam tinggi.

“Tidak dinafikan pengambilan bahan perasa seperti kicap soya, budu, sos tiram, lada hitam dapat membangkitkan selera, namun perlu diingatkan penyakit berbahaya seperti serangan jantung atau angin ahmar tidak memberikan sebarang isyarat sebelum komplikasi.

“Lebih membimbangkan, penyakit jantung juga dilaporkan punca utama kemasukan pesakit ke hospital bahkan menjadi menyumbang terbesar kepada kes kematian,” jelasnya dihubungi, baru-baru ini.

Elak gejala berbahaya

Dr Feisul memberitahu kebiasaan ‘lidah’ masyarakat Asia terhadap penambah rasa dan masin sebenarnya boleh dibentuk jika mengamalkan selera ‘Less Salt Please’ dan menjadikan kekurangan garam sebagai rutin harian mereka.

Walaupun Kementerian Kesihatan sedang berusaha merangka strategi pengurangan garam untuk rakyat tetapi ia perlu lahir daripada semangat dan kefahaman masyarakat sendiri dalam mengurus corak pengambilan garam. 

“Satu kajian rintis mengenai pengambilan garam dengan menggunakan kaedah analisis air kencing selama 24 jam, tahun lalu menunjukkan kandungan purata pengambilan garam ialah 8.7 gram sehari, iaitu 1.7 kali lebih tinggi berbanding saranan WHO. 

“Dalam kajian sama, mendapati sos kicap soya adalah makanan utama yang menyumbang kepada kandungan garam yang tinggi. Lelaki juga didapati mengambil lebih banyak garam berbanding wanita.

“Ini memberikan gambaran bagaimanapun pula pengambilan dan pengetahuan mengenai garam tersembunyi dalam kalangan umum” jelasnya


Amalkan langkah-langkah berikut:


Lakukan pemeriksaan kesihatan secara rutin. Sasarkan tekanan darah (BP) anda pada paras optimum iaitu 120/80 milimeter merkuri (mmHg) atau kurang;

Hadkan pengambilan garam kepada kurang daripada satu paras sudu teh sehari atau 5 gram (g) sehari.

Kurangkan penggunaan garam semasa penyediaan makanan, memasak dan di meja makan

Gunakan perisa asli seperti rempah ratus, daun sup atau limau untuk menambah perisa berbanding garam, sos atau penambah perisa lain

Kurangkan pengambilan makanan terproses, segera, diawet, diasin, ditinkan, dibotolkan atau dijeruk

Ambil dua sajian buah dan tiga sajian sayur sehari

Amalkan aktiviti fizikal atau senaman yang berkesan

Pupuk minda sihat, tangani tekanan, tidak merokok dan sihat tanpa alkohol.




Virus baru lebih bahaya dari SARS

Virus baru lebih bahaya dari SARS
Pesakit yang dijangkiti koronovirus ini akan mengalami simptom seperti kesukaran bernafas, demam, batuk dan radang paru-paru dalam tempoh 48 jam

LONDON - Virus baru yang yang menyebabkan kematian kedua di Britain, minggu lalu didakwa lebih berbahaya dari SARS (Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk).

Koronovirus misteri yang menyerang sistem pernafasan dan dipercayai berasal dari Timur Tengah itu mula dikenal pasti awal tahun lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan angka kematian kini mencecah 11 orang dan dua daripadanya ialah warga Britain.

Ahli mikrobiologi, Yuen Kwok-yung berkata, jika virus tersebut mengalami mutasi ia mungkin akan menjadi wabak pembawa maut.

"Virus baru ini boleh menyerang banyak organ dan membunuh sel dengan cepat berbanding SARS," katanya menurut laporan MailOnline.

Sebanyak 17 kes dilaporkan sejak WHO mengeluarkan amaran berjaga-jaga pada September lalu.  
      
Pembawa koronovirus itu juga masih tidak dapat dikenal pasti, namun saintis Netherlands mendakwa hasil penyelidikan ke atas sampel darah pesakit menunjukkan ia mungkin disebarkan oleh spesies kelawar Asia.