Lelaki terbukti lebih pelupa


Los Angeles: Satu kajian akhirnya, membuktikan bahawa lelaki lebih pelupa berbanding wanita. 


Kajian yang disiarkan dalam jurnal Pusat Bio-Perubatan Psikologi, (BMC Psychology) mendedahkan hasil kaji selidik terhadap 48,000 responden. Mereka ditanya sembilan soalan mengenai memori, termasuk sama ada mereka boleh ingat semula apa yang pernah dilakukan setahun lalu dan sama ada mereka ingat butiran dalam sesuatu perbualan. 


Terbukti lapan daripada sembilan soalan ditanya menunjukkan lelaki berdepan kesukaran untuk mengingat semula. 

Kedua-dua jantina menghadapi masalah dengan subjek yang sama khususnya nama dan tarikh. Kajian turut mendapati, bagi kedua-dua jantina pendidikan tinggi ada hubung kait dengan memori yang lebih baik dan tekanan serta keresahan membawa kepada sifat pelupa. 


Usia bukan faktor pelupa 

Satu lagi penemuan menarik menunjukkan usia bukanlah faktor yang memainkan peranan utama untuk menjadi pelupa seperti yang disangka. Kajian mendapati wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun mengalami tahap lupa yang sama. 
“Mengejutkan apabila lelaki lebih banyak lupa berbanding wanita. Ia tidak pernah didokumenkan sebelum ini. Agak mengejutkan juga kerana lelaki berusia 30 dan 60 tahun mengalami tahap lupa yang sama. Ternyata keputusan ini tidak kabur,” kata Profesor Jostein Holmen dari Universiti Sains dan Teknologi Norway (NTNU). - AGENSI


Henti merokok, tidur nyenyak

Henti merokok, tidur nyenyak



London: Lupakan pil tidur atau senaman untuk membantu mendapatkan tidur nyenyak pada waktu malam kerana penyelidik menyatakan taktik terbaik adalah dengan berhenti merokok.

Penyelidik mendapati merokok boleh mengganggu tidur yang membawa kepada keadaan seperti kemurungan dan kegelisahan. 


Mereka menyatakan tabiat itu mengganggu sistem jam tubuh khususnya paru-paru dan otak. 

Akibatnya, perokok tidak dapat tidur nyenyak dan keadaan itu boleh menyebabkan kemerosotan kognitif, gangguan perasaan, kemurungan dan kegelisahan.

“Kajian ini mendapati laluan biasa yang menyaksikan asap rokok memberi kesan kepada pulmonari dan saraf,” kata Dr Irfan Rahman dari Pusat Perubatan Universiti Rochester, New York.

Sebabkan keradangan

Dr Rahman dan pasukannya mendapati, asap tembakan memberi kesan kepada ‘sistem jam’ tubuh khususnya paru-paru dengan menyebabkan keradangan dan dengan tahap kemurungan aktiviti otak. 
Mereka dapati, merokok dalam masa singkat pun mengurangkan molekul dikenali sebagai SIRTUIN1 dan pengurangan ini mengubah suai tahap protein yang mengawal keadaan tikus makmal.

Pengurangan sama dilihat pada tisu paru-paru perokok. Penyelidikan membuat penemuan menggunakan dua kumpulan tikus. 

Satu kumpulan didedahkan kepada udara bersih saja, dan sekumpulan lagi didedahkan asap beberapa batang rokok sepanjang hari.

Penyelidik memantau corak aktiviti harian haiwan itu dan mendapati tikus dianggap tidak aktif berikutan pendedahan kepada asap rokok.

Mereka juga mendapati, paras rendah molekul SIRTUIN1 boleh menyebabkan gangguan pada tikus dan manusia yang terdedah kepada asap rokok. Namun, mereka juga berkata keadaan itu boleh diubah. 

“Cuma jika anda mahu laksana satu azam Tahun Baru, berhenti merokok,” kata Ketua Editor The FASEB Journal, Gerald Weissmann, penerbit artikel itu.

Dr Rahman menegaskan, hasil kajian akan membuka jalan untuk rawatan memulihkan fungsi paru-paru dan otak di kalangan perokok, sekali gus memperbaiki tidur mereka.

“Hasil kajian menunjukkan nilai terapeutik menyasarkan laluan ini dengan bahan yang boleh memperbaiki fungsi paru-paru dan otak perokok.

“Kami jangka penemuan ini akan menjadi asas kepada perkembangan masa depan dalam rawatan kepada pesakit yang mengalami kecederaan dan penyakit berkaitan asap tembakau,” katanya.
AGENSI