Cegah osteoporosis tanpa susu?

Tulang yang kukuh perlu untuk kesejahteraan hidup. - Foto Internet
Tulang yang kukuh perlu untuk kesejahteraan hidup. - Foto Internet


KAJIAN jangka panjang yang dijalankan oleh Duke-NUS Graduate Medical School dan the National University of Singapore (NUS) mendapati makanan sihat yang kaya dengan makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan kacang soya dapat mengurangkan risiko keretakan tulang punggung.

Kajian tersebut juga mendapati pengambilan makanan sihat tanpa memfokuskan kepada makanan atau nutrien tertentu secara khusus bermanfaat kepada kesihatan, contohnya dari segi menghalang pembentukan penyakit kronik.

Penemuan tersebut adalah berdasarkan kajian dijalankan di Singapura dikenali sebagai Singapore Chinese Health Study yang melibatkan faktor gaya hidup dan makanan terhadap penyakit kronik seperti kanser, penyakit kardiovaskular dan osteoporosis.

Kajian yang dimaksudkan berjudul Adherence to a Vegetable-Fruit-Soy Dietary Pattern or the Alternative Healthy Eating Index Is Associated with Lower Hip Fracture Risk among Singapore Chinese telah diterbitkan oleh Journal of Nutrition pada April 2014.

Kajian yang berlangsung antara 1993 hingga 1998 ini melibatkan 63,257 lelaki dan wanita berbangsa Cina berumur antara 45 hingga 74 tahun. Golongan subjek kajian dihadkan kepada dua kumpulan dialek utama Singapura iaitu Hokkien dan Kantonis.

Kajian susulan dijalankan hingga Disember 2010 bertujuan memantau risiko keretakan punggung pada kumpulan subjek.


Pola berbeza

Keputusan kajian mendapati dua pola makanan yang berbeza. Pola makanan pertama kaya dengan sayur-sayuran, buah-buahan dan soya manakala pola makanan kedua kaya dengan daging merah, daging terproses dan makanan berasaskan kanji terproses seperti mi.

Penemuan tersebut menyelaras faktor seperti umur, indeks berat badan, merokok dan risiko lain untuk keretakan tulang pada lelaki dan wanita.

Subjek yang mengambil makanan tinggi sayur-sayuran, buah-buahan dan soya pada paras paling tinggi didapati dapat mengurangkan risiko keretakan tulang sebanyak 20 peratus berbanding dengan mereka yang mengambilnya pada paras yang paling rendah.

Sebaliknya tiada sebarang kesan didapati dari segi risiko keretakan tulang pada peserta kajian yang mengambil makanan tinggi daging dan kanji terproses.

Pola makanan secara keseluruhan juga diuji menggunakan Alternative Healthy Eating Index 2010 yang dibangunkan Harvard School of Public Health berdasarkan makanan yang menghalang kanser, penyakit kardiovaskular dan diabetes jenis 2.

Sungguhpun kajian yang dijalankan selama dua dekad tersebut hanya melibatkan peserta berbangsa Cina dengan alasan ‘alasan saintifik dan kekurangan dana’, Profesor Madya Koh Won Puay dari Duke-NUS dan NUS Saw Swee Hock School of Public Health yang mengetuai kajian berkata, keputusan kajian boleh diguna pakai secara umum untuk penduduk atau kumpulan etnik lain.

Sebuah kajian yang dilaporkan dalam jurnal yang sama pada 2006, mendapati pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran pada kadar tinggi mempunyai kesan positif ke atas kesihatan tulang pada remaja dan orang tua terutama terhadap tulang belakang dan tulang paha.

Saintis yang menjalankan kajian tidak mengetahui mekanisme yang membantu ke arah perkara tersebut. Namun mereka percaya vitamin C daripada diet, kandungan pelbagai antioksidan dan gaya hidup memainkan peranan.

Kajian yang dimaksudkan berjudul Fruit and vegetable intakes and bone mineral status: a cross-sectional study in 5 age and sex cohorts dan diterbitkan oleh Journal of Nutrition.

Ramai doktor, pakar pemakanan konvensional, pakar diet dan sudah tentu pengeluar susu menyarankan amalan pengambilan susu terutama golongan tua. Alasan utama ialah susu kaya dengan kalsium dan vitamin D. Adakah mereka pernah menerangkan magnesium dan lemak secara keseluruhan yang terdapat dalam susu juga amat penting bagi proses pemuliharaan tulang?

Mengapa kumpulan subjek atau peserta kajian yang mengambil daging, makanan terproses dan kanji terproses dalam kajian yang dijalankan di Singapura pemakan tidak mengalami perubahan positif dari segi mengurangkan risiko osteroporosis?     

Menurut pandangan penulis, pola makanan yang diamalkan oleh kumpulan tersebut mengurangkan kandungan magnesium tubuh. Walaupun kajian di Singapura tidak menyukat kandungan magnesium sama ada dalam makanan atau tubuh peserta kajian namun makanan yang diambil kumpulan ini dipercayai mengurangkan kandungan magnesium tubuh.

Boleh dikatakan kebanyakan jenis makanan yang kita makan setiap hari mengandungi kalsium dan magnesium, namun pada paras yang berbeza-beza. Bagaimanapun, amalan makanan terproses termasuk kanji terproses dipercayai mengurangkan magnesium daripada tubuh.

Oleh sebab magnesium adalah padanan utama diperlukan kalsium dalam pembentukan tulang, maka kekurangan magnesium dalam makanan terproses dan penggunaan magnesium untuk mendetoks mengakibatkan kekurangan magnesium yang terdapat dalam tubuh.


Klorofil dan rumpai laut

Peserta atau subjek kajian yang mengamalkan pengambilan makanan kaya dengan sayur-sayuran, buah-buahan dan soya didapati mengurangkan osteroporosis. Sayur-sayuran terutama sayur-sayuran hijau kaya dengan klorofil.

Apakah mineral yang terdapat dalam klorofil? Satu-satunya mineral yang terletak di tengah-tengah sebatian oranik klorofil ialah magnesium! Anda tidak percaya? Cuba layari Wikipedia di bawah tajuk chlorophyll dan di bawah sub-judul ‘chemical structure’ anda akan dapati beberapa struktur kimia klorofil yang dipaparkan akan menunjukkan ion magnesium berada di tengah-tengah struktur klorofil.

Jadi adakah mengambil susu merupakan satu-satunya kaedah untuk memulihara kesihatan tulang? Jawapannya tidak. Rumpai laut yang kaya dengan magnesium dan pelbagai mineral lain serta pelbagai antioksidan juga dikatakan bermanfaat untuk kesihatan tulang.

Proses pemuliharaan tulang dipercayai dilakukan oleh carrageenan atau carrageenin iaitu polisakarida bersulfat (sulfated) bersama mineral (termasuk silicon) dan pelbagai vitamin dan bahan antioksidan secara sinergi.

Vitamin C daripada makanan seperti dinyatakan dalam kesimpulan dari kajian kedua dipercayai memainkan peranan dalam mengurangkan risiko osteoporosis. Bagaimana vitamin C membantu memulihara kesihatan tulang? Vitamin C merupakan ko-faktor dalam pembentukan atau sintesis kolagen.

Kolagen merupakan rangka asas utama untuk kedudukan mineral tulang yang kukuh. Ia diperlukan dalam proses biokimia dalam penambahan hidroksil (OH) kepada asid amino proline yang dibantu oleh enzim prolyl hydroxylase.

Jadi, kekurangan vitamin C akan menyebabkan proses hidroksilasi (penambahan hidroksil) proline terganggu, enzim prolyl hydroxylase bermutasi dan seterusnya tidak dapat membentuk struktur protein yang sepatutnya.  

Untuk memulihara tulang, bukan sahaja vitamin D yang diperlukan, namun lemak yang sihat juga penting. Selain itu vitamin K2 juga perlu. Sayur-sayuran hijau kaya dengan K2. Ia juga terdapat dalam makanan berasaskan haiwan terutama dalam daging dan ayam.

No comments:

Post a Comment