Nafas berbau?

Ketahui punca, kaedah penjagaan oral elak masalah memalukan 

SAMA ada anda kanak-kanak, remaja atau dewasa, penjagaan oral amat mustahak. Nafas berbau umpannya boleh memusnahkan rasa yakin pada diri anda. Di kalangan dewasa, kesihatan oral amat mustahak, apatah lagi sekiranya anda mahu rasa selesa serta bergaya berhadapan rakan sekerja.


Berasa hebat dan meyakinkan mengenai kesihatan oral dan mempunyai senyuman menawan, memberikan seseorang rasa keyakinan yang tinggi. Merasai dan kelihatan hebat kesan oral yang baik tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

Apabila kita menyebut mengenai kesihatan oral ia banyak bergantung kepada pemahaman dan rasa tanggungjawab. Tiada individu, yang mahukan nafas berbau atau memiliki gigi yang kotor. Kerap memberus gigi, menggunakan flos dan cecair kumur mulut adalah tabiat yang bagus untuk diteruskan kerana kesihatan oral menjamin keindahan senyuman. 

Kesihatan oral dan masalah nafas berbau yang tidak ditangani dengan betul boleh menyebabkan ia berterusan hingga dewasa. Nafas berbau menyebabkan wujud rasa tidak selesa empunya diri serta orang berhampiran. Terdapat pelbagai sebab seseorang itu mengalami masalah berbau, tetapi di kalangan individu sihat, ia berlaku akibat pembiakan mikro atas lidah, khususnya pada bahagian belakang lidah. 

Kajian mendapati teknik memberus gigi, khususnya bahagian lidah boleh mengurangkan sehingga 70 peratus nafas berbau. Nafas berbau disebabkan beberapa faktor termasuk bangun daripada tidur serta mengambil makanan berbau seperti petai. Ia terjadi lantaran pengaliran air liur hampir berhenti ketika proses tidur berlangsung dan ia mengurangkan fungsi membersih, dan keadaan itu menyebabkan pertumbuhan bakteria menyebabkan nafas berbau. 

Pengambilan makanan tertentu seperti halia, bawang putih dan dan sebagainya mengandungi bau semula jadi. Apabila komponen bau itu masuk ke dalam aliran darah, ia akan dipindahkan ke paru-paru di mana akan keluar sebagai nafas. 

Selain daripada itu, tabiat penjagaan gigi yang buruk seperti malas memberus dan berkumur memungkinkan pertumbuhan bakteria punca nafas berbau. Koloni bakteria dan makanan boleh hidup di bawah gusi yang tidak sihat juga boleh menyebabkan keadaan mulut tidak sihat. 

Sementara itu, gigi berlubang juga boleh menyumbang kepada nafas berbau kerana ia boleh menjadi lokasi pertumbuhan bakteria. Oleh itu, pastikan keadaan gigi anda berada dalam keadaan sempurna dengan mengunjungi doktor gigi secara berkala. 

Keadaan mulut kering atau ‘xerostomia’ boleh mencetuskan beberapa penyakit termasuk masalah kelenjar air liur atau masalah nafas berbau berpanjangan. Tabiat merokok atau mengambil produk tembakau boleh menyebabkan keadaan dalam mulut kering yang menjadi antara punca nafas berbau. 

Nafas berbau juga boleh disebabkan oleh tabiat mengawal pengambilan makanan atau diet. Sejenis bahan kimia digelar ‘ketones’ akan dibebaskan ketika bernafas apabila lemak dalam badan dibakar. 

Begitu juga sekiranya individu berada dalam keadaan lapar atau dehidrasi akibat tidak selera makan. Nafas boleh berbau kerana kekurangan pengeluaran air liur. Mengatasi masalah ini, anda boleh minum air dan mengunyah makanan boleh meningkatkan penghasilan air liur, seterusnya menghalau bakteria. 

Proses proses perubatan dan kesakitan seperti diabetes dan masalah buah pinggang, jangkitan kronik hidung, bronkitis, dan pneumonia antara keadaan yang boleh menyumbang kepada nafas berbau. 

Masalah nafas berbau boleh diatasi. Jalan terbaiknya ialah merekodkan apa yang anda makan kerana ia membantu anda mengesan punca nafas berbau. Anda boleh juga menyemak rekod perubatan lampau atau pembedahan terkini dengan doktor gigi anda. 

Mulut berbau boleh diatasi dengan mengamalkan penjagaan oral yang baik. Memberus gigi dengan bahan berflorida sekurang-kurangnya dua kali sehari, termasuk lidah dan bawah lidah membantu membersihkan keseluruhan mulut anda. 
Begitu juga membuang sisa makanan tepi gigi dengan menggunakan flos atau berkumur dengan cecair pembersih amat mustahak dalam usaha menghapuskan pembiakan bakteria di kawasan sekitar mulut. 

Tabiat pemakanan yang baik termasuk cara hidup sihat dengan meninggalkan rokok, sebaliknya minum banyak air dan buah-buahan membantu memelihara kesihatan gigi serta mulut. 

Walaupun mungkin segelintir memikirkan ia mencukupi, perkara utama yang selalu dilupakan ialah berjumpa dengan doktor gigi sekurang-kurangnya enam bulan sekali kerana melalui pemeriksaan rapi daripada individu pakar mengenainya, ia mampu mengatasi masalah oral anda. 

Empat langkah disediakan untuk penjagaan  kesihatan gigi: 

  • Memberus - amat mustahak untuk memberus gigi dengan betul. Teknik serta jenis berus gigi sesuai amat membantu menjaga kesihatan gigi dan mulut anda. 


  • Flos berperanan membuang sisa yang tidak mampu dilakukan berus gigi. Kajian menunjukkan flos gigi dua kali sehari boleh menangani masalah jantung. 


  • Berkumur dengan cecair kumur bukan saja boleh menyebabkan anda berasa segar, tetapi boleh mempertingkatkan keyakinan diri kerana ia meninggalkan bau yang menyegarkan. 


  • Berjumpa doktor gigi secara berkala. 



  • No comments:

    Post a Comment

    Post a Comment