Menangani peluh berlebihan


KITA digalakkan melakukan senaman tiga kali seminggu untuk cara hidup yang sihat. Ia amat penting dalam penjagaan kesihatan kerana dalam masa yang sama apabila badan mengeluarkan peluh, selain untuk mengawal suhu badan, secara tidak langsung ia juga menjana kesihatan tubuh.

Peluh yang keluar daripada tubuh merupakan satu situasi yang normal tetapi sekiranya peluh keluar lebih banyak daripada yang diperlukan ia adalah tidak normal.

Apatah lagi jika ia keluar ketika berada dalam persekitaran yang sejuk dan tidak menggunakan tenaga.
Dalam hal ini, peluh yang berlebihan terutama di bahagian tapak tangan, kaki dan bawah lengan membuatkan individu tersebut menjauhkan diri untuk bersosial dengan masyarakat.

Masalah peluh yang berlebihan bukan satu perkara normal malah ia boleh dikategorikan sebagai satu penyakit dan istilah perubatannya lebih dikenali sebagai hiperhidrosis.

Menurut Perunding Pakar Bedah Cardiovascular dan Thoracic, iHEAL Medical Centre, Kuala Lumpur, Dr. David Khoo Sin Keat, hiperhidrosis berlaku hampir dua peratus daripada jumlah penduduk dunia.

Katanya, bagi sesiapa yang menghadapi masalah tersebut, mereka perlu memberi lebih perhatian kerana secara tidak langsung ia menunjukkan wujudnya masalah kesihatan pada tubuh anda.

''Fenomena peluh berlebihan ini merupakan satu jenis penyakit kerana ia tidak terjadi kepada semua orang.
''Lazimnya, pesakit tidak sedar mereka menghadapi masalah ini sehinggalah ia mendatangkan masalah kepada mereka sehingga menyukarkan untuk melakukan pekerjaan.

''Dalam hal ini, peluh berlebihan bukan sahaja dikesan pada tapak tangan, kaki dan di bawah lengan malah ia juga dikesan pada bahagian kepala, muka, dada, belakang tubuh dan pangkal paha,'' ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Komuniti Sosial The Sweat Connection di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, hiperhidrosis biasanya berlaku pada individu dewasa berumur antara 20 hingga 50 tahun, tetapi ia boleh bermula lebih awal iaitu ketika kanak-kanak atau remaja. Malah seramai 0.6 peratus hingga satu peratus terdiri daripada golongan muda.

Pada majlis pelancaran itu juga, Dr. David turut menjelaskan bahawa penyakit tersebut dapat dirawat melalui teknik rawatan yang dikenali sebagai No Sweat Technique.

Katanya, teknik rawatan tersebut merupakan satu teknik yang melibatkan prosedur selama 15 minit dengan tusukan kecil di bawah kedua-dua lengan.

Rawatan tersebut bukan sahaja memberi keputusan yang cepat malah pesakit boleh meninggalkan hospital pada hari yang sama dengan keadaan tangan, kaki atau mana-mana bahagian yang bermasalah lebih selesa tanpa peluh.

Sebagai doktor yang berpengalaman dia memberitahu, sebenarnya sejak tahun 2001 lagi pelbagai kaedah penyembuhan telah pun dilakukan di Malaysia termasuk pembedahan simpatektomi torasik endoskopi (endoscopic transthoracic sympathectomy atau ETS).

Telah melakukan pembedahan ke atas 500 orang pesakitnya, Dr. David turut menyenaraikan beberapa aspek yang mungkin berkaitan dengan punca masalah kesihatan itu seperti tirotoksikosis (hipertiroidism), menopaus, obesiti dan gangguan psikiatri.

Bagi sesiapa yang menghadapi gejala-gejala seperti peluh yang berpanjangan, berpeluh tanpa sebab yang munasabah, berpeluh ketika tidak melakukan sebarang aktiviti lasak, berpeluh ketika mengalami tekanan serta cuaca panas dan tidak berpeluh ketika tidur, anda dinasihatkan agar cepat bertemu dengan doktor.



No comments:

Post a Comment