BAYI menghasilkan kira-kira 60 peratus masanya untuk tidur dalam tempoh sehari.
MENERIMA kehadiran ahli keluarga baru pasti menjadi satu pengalaman yang mengujakan dan paling menggembirakan setiap pasangan suami dan isteri. Ini benar khasnya bagi pasangan yang baru sahaja bergelar 'ibu bapa' buat julung kalinya.
Malah, apabila tangan seorang ibu buat pertama kali 'menyambut' bayi yang baru dilahirkannya, si ibu akan didatangi dengan perasaan bercampur-campur. Terharu, teruja dan tidak kurang juga ada yang terkejut dengan keadaan serta penampilan bayi yang dipeluknya.
Adakalanya pengaruh iklan yang menampilkan bayi-bayi comel dan bijak mungkin membuatkan ibu bapa berfikir bagaimana untuk menjaga dan mendidik seorang anak yang sempurna.
Pakar didikan anak, Dr. Miriam Stoppard pernah berkata, setiap anak adalah individu berbeza. Maksudnya, mereka memiliki tahap individualiti tersendiri. Percaya atau tidak, biarpun hanya bergelar bayi, anak kecil ini mampu menyerlahkan personalitinya menerusi reaksinya.
Dalam bab pertama buku nukilan Dr. Miriam yang bertajuk, Complete Baby and Childcare, beliau menyatakan bagaimana bayi mampu menunjukkan reaksi positif melalui bahasa tubuhnya. Tindakan refleks yang pelbagai boleh dirangsang sebaik si kecil dilahirkan. Ini kerana tindakan refleks adalah perkara normal yang boleh berlaku kepada mana-mana bayi sihat.
Pada usia tiga bulan, respons si kecil mungkin hanyalah tindakan refleks tanpa disedarinya sebelum ia digantikan dengan pergerakan yang dilakukan dalam keadaan sedar secara beransur-ansur.
Satu contoh, tindakan refleks yang boleh dilatih oleh ibu bapa atau penjaga bayi adalah The Rooting Reflex. Tindakan refleks itu membantu bayi mengesan kedudukan payu dara ibu untuk menyusu badan.
"Jika anda menyentuh pipi si kecil secara lembut dengan jari telunjuk, dia akan menoleh ke arah jari anda dan membuka mulut. Dan jika anda sentuh bahagian tengah bibir atasnya, dia juga akan membuka mulut," jelas Dr. Miriam dalam bukunya.
Selain itu, reaksi lain yang biasa ditonjolkan oleh si kecil adalah menangis, gaya tidur dan menghasilkan bunyi berbeza. Menurut Dr. Miriam, bayi sebenarnya akan berada dalam tiga situasi berbeza iaitu tidur, terjaga dan senyap atau terjaga dan menangis.
Menangis katanya, boleh berpunca daripada pelbagai sebab. Sama ada si manja anda terlampau letih, kesunyian, lapar, perlu ditukar lampin atau sekadar berasa tidak selesa. Bayi juga boleh menangis tanpa sebarang sebab.
Apabila berdepan dengan anak kecil yang sedang menangis, apakah tindakan yang biasa diambil oleh kebanyakan ibu bapa? Menepuk-nepuk belakang anak bagi mententeramkannya atau mengambil jalan pintas dengan membiarkan sahaja si kecil anda menangis sepuasnya?
Jika tindakan anda adalah pilihan kedua tadi, anda mungkin belum cukup berpengalaman melayani kerenah si kecil! Kajian ke atas bayi baru lahir mendapati ibu bapa yang gagal bertindak pantas terhadap tangisan anak hanya akan menyebabkan keadaan bertambah teruk.
"Jangan sesekali biarkan anak menangis sendiri. Bayi yang tidak menerima perhatian (sewaktu menangis) akan lebih cenderung menangis secara kerap apabila dewasa kelak. Ramai yang keliru antara menyayangi seorang anak dan memanjakannya," jelas Dr. Miriam dalam buku setebal 352 muka surat itu.
Terbahagi kepada tujuh bab berbeza, buku ini antara lain turut menyentuh tentang cara jagaan anak dewasa, kehidupan kekeluargaan, keperluan anak istimewa dan perubatan serta penjagaan kesihatan.
Dalam aspek gaya tidur pula, bayi dikatakan menghabiskan kira-kira 60 peratus untuk tidur dalam tempoh sehari.
Tetapi, dalam kes-kes tertentu, si kecil anda mungkin golongan yang terlalu aktif dan 'segar' sepanjang masa, tidak kira siang atau malam. Maka, percayalah, anda tidak semestinya memaksa si kecil tidur. Sebaliknya, setiap minit dia terjaga anak anda sebenarnya sedang mempelajari perkara baru.
Jelas Dr. Miriam lagi: "Setiap bayi adalah berbeza. Jadi, keperluan tidur mereka juga banyak bergantung kepada tahap fisiologi masing-masing. Jadi, jangan terlalu berkeras untuk memperuntukkan satu masa tidur untuk bayi anda."
Gaya tidur si kecil yang baru lahir juga bergantung kepada keperluan makan dan beratnya. Dalam beberapa minggu pertama, berat badan si kecil yang sedikit adalah petanda dia memerlukan makanan. Oleh sebab itu, semakin kerap dia diberi makan, semakin kurang masa yang diperuntukkan untuknya tidur.
sumber: kosmo
No comments:
Post a Comment