El Nino undang kesan negatif pada mata


KUALA LUMPUR - Fenomena El Nino yang melanda negara sejak Januari lepas bukan sahaja boleh menyebabkan strok haba, malah cuaca panas itu mampu memberi kesan negatif kepada mata.
Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perubatan Hospital Mata Tun Hussein Onn (THONEH), Dr Pall Singh berkata orang ramai terutama mereka yang mengalami masalah mata kering perlu menitikberatkan aspek penjagaan mata dengan mengelak daripada terdedah terlalu lama kepada matahari.

Dr Pall Singh yang juga perunding kanan pakar Oftalmologi berkata mereka perlu kerap menggunakan ubat titis bagi mengelak pesakit mengalami pedih mata.  
"Selain mengguna ubat titis, orang ramai termasuk mereka yang ada masalah mata kering perlu memakai cermin mata untuk melindungi mata daripada sinar ultraviolet (UV). 
"Tetapi pastikan cermin mata yang berkualiti sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini. 
Beliau berkata mereka yang memakai kanta lekap juga perlu kerap menggunakan ubat titis mata bagi mengelak mata menjadi kering. 

"Jika mata terasa pedih walaupun selepas kerap menggunakan ubat titis, maka saya nasihatkan mereka mendapatkan rawatan segera," katanya. 
Presiden Kelab Doktor-Doktor Malaysia Dr Muhammad Hakim Nordin berkata fenomena El Nino menyumbang kepada keletihan mata dan dehidrasi sehingga menyebabkan mata menjadi kering sepanjang masa. Sekiranya aspek penjagaan mata diabaikan, permukaan mata yang kering itu memudahkan jangkitan mata atau kelopak mata malah mengundang kepada masalah lebih serius seperti radang tisu mata. 

"Warga emas, kanak-kanak dan bayi berisiko mendapat permasalahan ini. Saya dapati warga emas cenderung mengalami keradangan mata (keratitis) dengan mata putih menjadi merah dan sakit.  
Katanya kanak-kanak dan bayi juga mudah mendapat gangguan fungsi kelenjar air mata akibat cuaca panas, menyebabkan masalah tahi mata berlebihan terutama ketika bangun pagi. 

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Hakim berkata cuaca panas juga mendorong serangga kecil seperti semut, nyamuk dan lebah memasuki kediaman yang berkemungkinan menggigit penghuni di kediaman berkenaan. 
"Mana-mana individu yang mengalami alahan terhadap gigitan serangga kecil mungkin berhadapan dengan risiko radang mata akibat alahan yang menyebabkan mata putih bengkak, berair dan gatal," katanya.
Malaysia kini mengalami fenomena El Nino dan Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan keadaan itu hanya akan berakhir pada Mei atau Jun. - Bernama

No comments:

Post a Comment