Awasi produk tidak berdaftar 'Figure Up'


KUALA LUMPUR - Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin sekali lagi mengingatkan orang awam berkaitan dengan PRODUK TIDAK BERDAFTAR yang dilabel dengan nama ‘FIGURE UP’.



PERIHAL PRODUK DAN KESAN ADVERS YANG DILAPORKAN

Susulan daripada kenyataan akhbar oleh Bahagian Farmasi pada 8 November 2013, Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) masih menerima laporan kesan advers yang melibatkan produk ini.  

Antaranya dua (2) pengguna mengalami kesan advers yang serius iaitu sawan dan pendarahan ulser duodenal. Pengguna yang terlibat adalah berumur di antara 14 hingga 38 tahun.

Hasil ujian sampel yang telah dilakukan oleh BPFK mendapati produk ini mengandungi bahan racun berjadual sibutramine.

Semakan mendapati produk ini banyak dipromosikan dan dipasarkan melalui penjualan internet bagi menurunkan berat badan. 

Label produk juga mengelirukan pengguna dengan menyatakan ia hanya mengandungi ramuan semulajadi dan dihasilkan di kilang yang bertaraf Amalan Perkilangan Baik (APB).

Namun, siasatan lanjut mendapati nama syarikat yang tertera Biospecialty Food Trading adalah syarikat yang tidak dilesenkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.


PERIHAL BAHAN RACUN BERJADUAL

Sibutramine adalah ubat terkawal yang digunakan untuk rawatan obesiti. Namun demikian, ubat-ubatan yang mengandungi sibutramine telah ditarik balik pendaftarannya di Malaysia pada 23 Disember 2012 atas sebab peningkatan risiko kesan advers kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok.

Antara kesan sampingan lain yang biasa dikaitkan dengan sibutramine adalah peningkatan tekanan darah dan kadar denyutan jantung, kering mulut dan tekak, muntah, cirit-birit, pening, sakit kepala dan kesukaran tidur.

Sawan dan pendarahan adalah Antara kesan advers serius ubat sibutramine yang pernah dilaporkan.


PERINGATAN KEPADA PENJUAL DAN PENGEDAR PRODUK INI

Sesiapa yang mempunyai stok produk ini dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta.

Penjual adalah diingatkan pemilikan untuk jualan produk-produk tidak berdaftar melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.


PERINGATAN KEPADA ORANG AWAM

Orang awam yang sedang menggunakan FIGURE UP adalah dinasihatkan supaya SEGERA menghentikan pengambilan produk ini.

Mereka diminta supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah tertipu dengan ubat-ubatan tradisional yang mempunyai tuntutan boleh menurunkan berat badan dengan cepat kerana produk-produk sedemikian adalah berkemungkinan besar dicampurpalsu dengan bahan racun berjadual.

Ibu bapa juga dinasihatkan untuk memantau pembelian ubatan melalui internet oleh anak remaja kerana kebanyakan ubat-ubatan yang dijual di internet tidak dapat dipastikan dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai produk tidak berdaftar ini dinasihatkan supaya dapat menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-78413200 atau mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan atau e-mel kepada pharmacy1@moh.gov.my bagi menyalurkan maklumat agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras pengedaran produk ini di pasaran.

Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk dengan menghubungi BPFK di talian 03-78835400 atau melayari laman sesawang www.bpfk.gov.my.

Dato’ Eisah Abdul Rahman Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia - Bernama




No comments:

Post a Comment