Bengkung semakin popular dalam kalangan lelaki




LONDON 6 Feb. - Pakaian dalam untuk membentuk badan seperti korset dan bengkung sudah lama dipakai oleh wanita, namun kini semakin popular dalam kalangan lelaki pula.

Pakar perubatan, bagaimanapun berkata, perbuatan memakai pakaian ketat tersebut pada setiap hari boleh membawa risiko kesihatan seperti menyebabkan darah beku, masalah belakang dan kanser.

Pakar perunding pembedahan am dan usus besar London Clinic, Jonathan Wilson berkata, pakaian itu memberi tekanan kepada organ termasuk perut.

“Sebarang tekanan ke atas perut boleh menyebabkan asid pada perut ditolak ke atas iaitu ke dalam esofagus.

“Jika anda sebelum ini tidak mengalami masalah tersebut tetapi mempunyai kecenderungan itu, pemakaian pakaian ini akan menyebabkan anda menghidapi penyakit tersebut,’’ katanya.

Beliau berkata, antara simptomnya adalah pedih hulu hati, memuntahkan asid dan dysphagia atau kesukaran untuk menelan.

“Dalam kes dysphagia, asid melukakan esofagus menyebabkan ia menjadi sempit. Pesakit yang mengalami penyakit ini sering merasakan makanan terlekat di dada,’’ katanya.

Kajian saintifik berpendapat keadaan itu mungkin berlaku akibat lebihan lemak di badan menekan perut.

“Jika berat badan merupakan satu masalah, anda sepatutnya menggunakan kaedah diet dan senaman berbanding pakaian dalam untuk mengurangkan berat badan,’’ katanya. - AGENSI


No comments:

Post a Comment