Bukan saja di internet, dada akhbar, mungkin juga risalah yang dilayangkan di merata tempat malah pada tembok, tiang atau dinding jalan, lampu isyarat dapat dilihat banyak tertera iklan mengenai ubat kuat lelaki atau ubat tahan lama berserta nombor telefon untuk dihubungi.
Iklan sebegitu dilihat terbuka tanpa sebarang kawalan. Bagi mereka yang mahu mendapatkan maklumat dan bentuk perkhidmatan disediakan seperti urutan bagi merawat mati pucuk atau pil, minuman serta minyak bagi meningkatkan nafsu seks, pasti teruja dan mungkin tidak segan silu bertanya mengenainya.
Gimik promosi iklan dipaparkan memang membuatkan si lelaki tidak sabar mendapatnya. Tidak kurang yang malu membeli lalu sanggup terbelenggu dengan masalah meningkatkan tenaga batin.
Bagaimanapun, mati pucuk atau lemah tenaga batin juga dalam bahasa perubatannya disfungsi erektil (ED), bukan isu asing, namun ia sebenarnya agak jarang diperbincangkan atau berkongsi cerita secara terbuka terutama kalangan lelaki yang mempunyai masalah itu.
Mereka malu, sensitif dan mungkin tidak mahu digelar lelaki dayus. Mungkin hanya pasangan masing-masing yang mengetahui kekurangan itu.
Bagi isteri yang tidak dapat menerima keadaan itu, akhirnya berpisah kerana kenikmatan dan kepuasan hubungan intim sudah tiada. Lebih baik mengundur diri.
Menurut laporan, kira-kira 152 juta lelaki menghidapi ED di seluruh dunia manakala jumlahnya dijangka meningkat lebih sekali ganda iaitu 322 juta, menjelang 2025.
Ketika ini, kajian di Malaysia pula mendapati 68 peratus lelaki mengalami lemah tenaga batin dan kebanyakannya berusia 45 tahun ke atas.
Lebih membimbangkan, masalah mati pucuk ini sudah mula menular kepada anak bujang seawal usia 20-an.
Laporan mendapati kira-kira 16 hingga 47 peratus lelaki di negara ini berhadapan dengan kehilangan nikmat seks bukannya disebabkan faktor peningkatan usia saja.
Tinjauan The H4rd Poll yang membabitkan lelaki dan wanita Malaysia berusia 25 hingga 44 tahun, mendapati ED dan ereksi suboptimum atau kurang tegar menjadi satu kelaziman dalam kalangan lelaki muda berusia 20 tahun dengan punca utama bagi masalah itu dikaitkan dengan gaya hidup yang tertekan, keadaan fizikal kurang baik dan aktiviti lewat malam.
Jangan malu
Lantaran, sampai bilakah kebuntuan mengenai penyakit ini seharusnya dibiarkan begitu saja dan segan bertemu pakar? Sebenarnya, usah runsing kerana anda tidak keseorangan melalui dunia penuh kegelapan, tanpa nikmat seks sebenar apatah lagi bagi mereka yang baru melangkah ke alam rumah tangga sewajarnya jangan malu.
Langkah awal adalah jalan terbaik bagi mengelak hubungan menjadi retak.
Bukan semua punca perceraian disebabkan tidak menyayangi pasangan atau antara pasangan tetapi disebabkan tidak puas ketika bersama suami yang menghidap ED mahupun tidak mencapai klimaks.
Hakikatnya, bukan mudah lelaki memperkatakan isu ini kerana ia cukup peribadi dan dianggap sesuatu yang boleh menjejaskan maruah. Pengakuan mengalami masalah ejakulasi hanya menoktahkan mereka sebagai lelaki lemah dan tidak perkasa.
Ini bermakna terdapat keperluan segera untuk melaksanakan inisiatif menangani kejadian yang semakin meningkat dalam kalangan lelaki muda ini.
Jadi, berterus terang dengan doktor dengan memulakan khidmat rundingan lebih baik daripada terus memencil diri dan mendapatkan rawatan selepas keadaan bertambah parah.
Halangan utama kebanyakan kes membabitkan ED adalah keengganan lelaki untuk berbincang masalah atas pelbagai alasan seperti malu, kurang kesedaran, penafian dan bimbang rahsia terbongkar.
Segera jumpa doktor
Mengulas lanjut, Pakar Runding Urologi, Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya, Dr Peter Ng Eng Pin, berkata lelaki yang merasai mengalami ED dan ereksi suboptimum perlu mendapatkan nasihat doktor.
Katanya, langkah pertama adalah menilai tahap kesihatan, selepas menentukan pelan rawatan terbaik, maka buat rawatan dengan perencat PDE-5 dan aktiviti menyihatkan akan membantu mereka kembali mencapai ereksi optimum.
Malangnya di Asia, perbincangan berkenaan ED dan kesihatan berkaitan seks masih dianggap subjektif walaupun ada penyedia khidmat penjagaan kesihatan.
“Dianggarkan 60 peratus lelaki berumur 40 tahun ke atas mengalami kesukaran erektil sekurang-kurangnya sekali seumur hidup,” katanya.
Fenomena ini disokong Pakar Runding Urologi, Pusat Perubatan UM, Profesor Madya Dr Ong Teng Aik menjelaskan jika orang ramai masih berahsia untuk membicarakan masalah ED, maka susah selesaikan masalah mereka.
“Sepanjang menjalankan tugas sebagai pakar perubatan, saya sudah menemui ramai lelaki keberatan untuk membincangkan masalah ED. Malah ada yang berpendapat, ini bukan masalah serius yang memerlukan mereka berjumpa doktor.
“Sebenarnya masalah ini adalah sesuatu yang perlu ditangani dengan segera atas inisiatif penghidap sendiri dan pasangannya.” katanya.
No comments:
Post a Comment