Bahaya 'garam tersembunyi'

Bahaya 'garam tersembunyi'

Garam apa yang dibayangkan ialah serbuk putih sering digunakan sebagai penambah rasa dalam masakan. Namun, berapa banyakkah garam yang diperlukan? Saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pengambilan garam sepatutnya lima gram termasuk 'garam tersembunyi'. 


Ini merujuk kepada garam terkandung dalam bahan makanan seperti kicap, sos, mayonis, keju, ikan masin, penambah perisa dan kiub perasa. Makanan siap diproses seperti sosej dan makanan dalam tin juga tidak terkecuali mengandungi garam tersembunyi ini.

Menyokong tema Hari Sambutan Kesihatan Sedunia disambut, pada 7 April ini yang bertemakan Tekanan Darah Tinggi, Kementerian Kesihatan menekankan mengenai pengurangan pengambilan garam tersembunyi untuk mengurangkan kadar risiko penyakit bahaya dalam kalangan penduduk.

Rahsia garam tersembunyi
Mungkin ramai masih samar mengenai kehadiran ‘garam tersembunyi, menjelas lanjut mengenai kandungan itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Feisul Idzwan Mustapha, berkata corak pengambilan makanan berasaskan garam perlu diberi penekanan dan disiplin bagi mengurangkannya kebergantungan terhadap penambah rasa itu.

Katanya, pengambilan garam yang tinggi antara penyumbang kepada tekanan darah dan peningkatan penyakit angin ahmar dan jantung.

“Apabila menyentuh mengenai penggunaan garam dalam masakan, ramai merujuk kepada serbuk putih digunakan di dapur. Tapi mereka tidak sedar sebenarnya makanan diproses dan sos atau perencah penambah rasa turut mempunyai kandungan garam tinggi.

“Tidak dinafikan pengambilan bahan perasa seperti kicap soya, budu, sos tiram, lada hitam dapat membangkitkan selera, namun perlu diingatkan penyakit berbahaya seperti serangan jantung atau angin ahmar tidak memberikan sebarang isyarat sebelum komplikasi.

“Lebih membimbangkan, penyakit jantung juga dilaporkan punca utama kemasukan pesakit ke hospital bahkan menjadi menyumbang terbesar kepada kes kematian,” jelasnya dihubungi, baru-baru ini.

Elak gejala berbahaya

Dr Feisul memberitahu kebiasaan ‘lidah’ masyarakat Asia terhadap penambah rasa dan masin sebenarnya boleh dibentuk jika mengamalkan selera ‘Less Salt Please’ dan menjadikan kekurangan garam sebagai rutin harian mereka.

Walaupun Kementerian Kesihatan sedang berusaha merangka strategi pengurangan garam untuk rakyat tetapi ia perlu lahir daripada semangat dan kefahaman masyarakat sendiri dalam mengurus corak pengambilan garam. 

“Satu kajian rintis mengenai pengambilan garam dengan menggunakan kaedah analisis air kencing selama 24 jam, tahun lalu menunjukkan kandungan purata pengambilan garam ialah 8.7 gram sehari, iaitu 1.7 kali lebih tinggi berbanding saranan WHO. 

“Dalam kajian sama, mendapati sos kicap soya adalah makanan utama yang menyumbang kepada kandungan garam yang tinggi. Lelaki juga didapati mengambil lebih banyak garam berbanding wanita.

“Ini memberikan gambaran bagaimanapun pula pengambilan dan pengetahuan mengenai garam tersembunyi dalam kalangan umum” jelasnya


Amalkan langkah-langkah berikut:


Lakukan pemeriksaan kesihatan secara rutin. Sasarkan tekanan darah (BP) anda pada paras optimum iaitu 120/80 milimeter merkuri (mmHg) atau kurang;

Hadkan pengambilan garam kepada kurang daripada satu paras sudu teh sehari atau 5 gram (g) sehari.

Kurangkan penggunaan garam semasa penyediaan makanan, memasak dan di meja makan

Gunakan perisa asli seperti rempah ratus, daun sup atau limau untuk menambah perisa berbanding garam, sos atau penambah perisa lain

Kurangkan pengambilan makanan terproses, segera, diawet, diasin, ditinkan, dibotolkan atau dijeruk

Ambil dua sajian buah dan tiga sajian sayur sehari

Amalkan aktiviti fizikal atau senaman yang berkesan

Pupuk minda sihat, tangani tekanan, tidak merokok dan sihat tanpa alkohol.




No comments:

Post a Comment