Kebanyakkan mangsa kemalangan meninggal dunia disebabkan oleh kelewatan
si mangsa menerima rawatan pertolongan cemas
Kemalangan jalan raya selalunya menjadi medan 'wayang percuma' apabila orang ramai yang mengerumuni mangsa hanya melihat untuk mengetahui keadaan mangsa tanpa memberi bantuan kecemasan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), berdasarkan kajian Universiti Harvard, kemalangan jalan raya meragut lebih 30 juta nyawa di seluruh dunia pada abad lalu.
Kajian itu melaporkan, setiap tahun 700,000 kematian dan 10 juta kecederaan berlaku akibat kemalangan jalan raya yang menelan kos sebanyak RM1,750 juta di seluruh dunia.
Kajian itu juga mengatakan, kemalangan jalan raya menjadi beban kesihatan ketiga utama selepas penyakit jantung dan kemurungan.
Sementara itu, Kajian Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Bangsa-bangsa Bersatu bagi Asia Pasifik (ESCAP) mendedahkan, jumlah kemalangan jalan raya dan kematian di Malaysia semakin meningkat daripada 250,429 kes (dengan 6,035 kematian pada 2000) kepada 341,252 kes dengan 6,287 kematian pada 2006 bagi tempoh sama.
Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr Steven Chow, berkata mangsa kemalangan jalan raya ada peluang tinggi untuk hidup dan penurunan kadar kecederaan parah jika diberi bantuan kecemasan (paramedik dan ambulans) secepat mungkin.
Kajian lain pula menunjukkan, kebanyakan mangsa kemalangan jalan raya meninggal dunia sebelum paramedik dan ambulans sampai ke tempat kejadian. Malah, 39 hingga 85 peratus daripada kematian yang boleh dicegah itu disebabkan saluran pernafasan tersekat.
“Tidak ramai tahu bahawa memberi pertolongan cemas untuk mangsa kemalangan sangat penting dan ia sebenarnya sangat mudah dipelajari”, kata Pengarah Bahagian Latihan, Persatuan St John's Ambulans Malaysia, Datuk Dr Lee Hoo Teong.
Beliau menamakan bantuan ini sebagai proses 'Dr ABC' iaitu 'D' bermaksud 'danger' (bahaya); R untuk 'response' (bertindak); A untuk 'air' (udara); B untuk 'breathing' (bernafas) dan C untuk 'circulation' (peredaran).
Oleh kerana kecemasan adalah keadaan yang tidak stabil, orang yang mahu membantu perlu peka terhadap sebarang gerak balas yang ditunjukkan mangsa serta suasana di sekeliling mereka.
Namun sebagai langkah keselamatan, orang awal perlu mengambil langkah pencegahan jangkitan seperti memakai sarung tangan dan melindungi mata mereka terlebih dulu sebelum menghulurkan bantuan.
Langkah bantuan kecemasan untuk mangsa kemalangan jalan raya:
1. Pastikan keadaan sekeliling selamat
2. Panggil mangsa atau tepuk bahunya beberapa kali untuk memastikan dia sedar atau tidak
3. Jika mangsa tidak sedarkan diri, ini menandakan keadaannya mungkin serius dan hubungi talian 999 untuk mendapatkan ambulans dengan segera. Anda juga perlu memanggil ambulans walaupun mangsa dalam keadaan sedar
4. Sementara ambulans sampai, lakukan langkah A, B, C (udara, pernafasan dan edaran udara)
5. Jika mangsa sedar, cuba berkata sesuatu kepadanya untuk memastikan dia mampu bercakap kerana apabila mangsa bercakap, peredaran udara akan berlaku. Maknanya udara akan masuk ke dalam paru-paru dan otak (A)
6. Jika mangsa tidak sedarkan diri, cuba buka saluran pernafasannya dengan mendongakkan kepalanya dan lihat tanda pernafasan. Tanda pernafasan boleh dikesan dengan melihat dada, sama ada berlaku pergerakan dada atau abdomen mangsa. Anda juga boleh mengesan pernafasan mangsa dengan mendekatkan pipi anda ke mulut mangsa (B)
7. Jika mangsa tidak bernafas, segera beri bantuan pernafasan mulut ke mulut (CPR)
8. Jika mangsa mengalami pendarahan, darah perlu dihentikan segera untuk mengelak mangsa mengalami kejutan atau mati akibat kehilangan banyak darah
9. Luka perlu ditutup dengan kain kasa atau tuala yang bersih. Tekan kain atau tuala ini pada luka. Kehadiran bahan asing (tuala dan kain) akan menyebabkan darah bergumpal dan menghentikan pendarahan. Jika kain atau tuala itu dibasahi darah, tekap sehelai lagi kain di atasnya. Jangan alihkan kain atau tuala yang dibasahi darah tadi kerana ia akan turut mengalihkan komponen untuk membekukan darah yang terbentuk pada luka dan menyebabkan pendarahan terus berlaku
10. Jika ambulans belum tiba, ambil data perubatan mangsa
11. Alihkan kereta dan barang yang menghalang perjalanan trafik
Bantuan CPR
1. Baringkan mangsa di tempat selamat. Dongak kepala mangsa (dengan menolak dagu ke atas) dan buka mulutnya. Ini akan membuka saluran pernafasannya.
2. Periksa pernafasan mangsa. Dekatkan pipi anda ke hidung dan mulut mangsa, lihat ke arah dadanya untuk mengetahui ada pernafasan (ini perlu dilakukan dengan pantas iaitu dalam masa lima hingga 10 saat).
3. Jika tiada pernafasan, beri bantuan pernafasan kepadanya. Picit hidung mangsa, tekap mulut anda ke mulut mangsa dan hembus dua kali atau hingga anda lihat dadanya ternaik sedikit. Jika mangsa bernafas semula dan tiada kesan trauma, alihkan kedudukan badannya supaya dia baring mengiring (posisi penyembuhan).
4. Jika mangsa tidak bernafas, periksa nadi karotid selama lima hingga 10 saat. Letak dua atau tiga jari pada halkum mangsa dan alih jari anda supaya ia ada di antara halkum dan otot leher.
Jika ada denyutan nadi tetapi tiada pernafasan, beri bantuan pernafasan; iaitu 12 hembusan bagi satu minit (satu hembusan untuk setiap lima saat).
Jika tiada denyutan nadi, beri bantuan 'pengepaman jantung' pada dada. Letakkan tumit tangan kanan di bawah tulang dada dan letak tangan kiri di atas tangan kanan. Buat 30 tekanan untuk dua hembusan.
Maknanya selepas anda memberi dua hembusan, tekan dadanya sebanyak 30 kali. Ulang kaedah ini sebanyak lima kali atau lebih sehingga bantuan sampai.
dulu saya pernah amik kursus first aid ni. dan saya adalah first aid squad. license dh nk abis hujung tahun ni...nk amik kursus balik...x tau la comp nk support lg ke x. dulu comp yg bayar n suruh kt amik kursus tu
ReplyDelete