Kopi Campur Gelatin BABI ?

Pastikan premis yang anda kunjungi mempunyai  tanda logo Halal


JOHOR BAHRU: Sebuah kedai kopi popular di negeri ini yang beroperasi sejak kira-kira 70 tahun lalu dan dikunjungi lebih 80 peratus pelanggan beragama Islam rupa-rupanya menghidangkan kopi bercampur gelatin khinzir.

Perkara menjijikkan itu terbongkar selepas Jabatan Agama Johor (JAJ) menjalankan pemeriksaan terhadap premis itu berikutan aduan orang ramai. 
Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Datuk Zainal Abidin Osman (gambar) yang dihubungi Harian Metro turut mengesahkan memang ada gelatin khinzir dalam serbuk kopi disediakan di kedai berkenaan. 

“Sampel serbuk kopi dari premis itu diambil untuk dianalisis Jabatan Kimia Johor dan hasilnya, ia positif gelatin khinzir.

“Semua itu dilakukan selepas kami mendapat banyak aduan daripada orang ramai. Pemeriksaan dijalankan baru-baru ini oleh JAJ serta Jabatan Kesihatan Negeri Johor,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bagaimanapun, kata Zainal, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan terhadap pengusaha terbabit melainkan menasihati peniaga supaya memastikan produk mereka halal serta mendapatkan sijil halal. 

“Pelanggan beragama Islam perlu berwaspada dalam memilih lokasi untuk menjamu selera, pastikan premis berkaitan mempunyai logo halal,” katanya. 

Difahamkan, pengusaha premis terbabit akan hadir ke pejabat JAJ, hari ini. Selain di Johor, kedai kopi itu dikatakan turut memiliki cawangan di Lembah Klang. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor, Abdul Hamid Abu Bakar berkata, pihaknya menghantar lima pegawai ke premis terbabit, kelmarin. 

“Selepas menerima aduan menerusi SMS, kami melakukan pemeriksaan di premis itu dan mendapati memang tiada tanda logo halal dipamerkan di situ. 

“Berikutan itu, kami tidak boleh mengambil tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 ke atas mereka,” katanya ketika dihubungi. 

Menurut Abdul Hamid, jika premis terbabit memaparkan logo halal, pihaknya boleh mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang berkenaan. 

Sehubungan itu, menasihatkan pelanggan beragama Islam supaya berhati-hati memilih lokasi untuk menjamu selera. 

“Sepatutnya orang Islam memastikan tanda logo halal sebelum memasuki sesuatu premis itu kerana dalam kes ini, tiada langsung logo berkenaan dipamerkan tapi pengguna Islam masih ke situ untuk menjamu selera. 

“Pada masa sama, pengusaha terbabit juga perlu lebih bertanggungjawab kerana premis perniagaan mereka sering dikunjungi pelanggan beragama Islam,” katanya. 

Sementara itu, jurucakap Persatuan Pengguna Bumiputera Johor Bahru berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan pengusaha premis terbabit secepat mungkin dan menasihati pengusaha berkenaan supaya mempamerkan kandungan minuman dan makanan kepada pelanggan. 

“Kami menerima banyak aduan dan pertanyaan daripada orang ramai yang bimbang selepas melihat sebaran berkaitan isu berkenaan di Internet dan laman web sosial,” katanya.



Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment